SEORANG remaja perempuan berusia 14 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Melati, Ulu Beranang, Nilai, untuk bermain bola keranjang bersama rakan pada 18 November lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, Chen Youki keluar dari rumah kira-kira jam 4 petang dengan memakai kemeja-T putih dan seluar pendek.
Menurutnya, remaja itu masih belum pulang sehingga kini, manakala panggilan telefon daripada ahli keluarganya tidak dijawab.
“Bimbang dengan keselamatan anak mereka, keluarga remaja itu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai pada jam 9.45 malam kelmarin.
“Pihak polis kini sedang giat menjalankan usaha mengesan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang melihat remaja itu atau mempunyai maklumat mengenai keberadaannya diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Nilai menerusi talian 06-7904222 atau mana-mana balai polis berhampiran.





