LELAKI yang disyaki membunuh isterinya di sebuah unit rumah kuarters kakitangan awam di Nilai, Khamis lalu, mempunyai 16 rekod jenayah lampau, termasuk kes berkaitan narkotik dan pecah rumah.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, hasil semakan mendapati 10 daripada rekod berkenaan membabitkan kesalahan narkotik, manakala enam lagi berkaitan pecah rumah, curi dan memiliki barang curi.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek juga mendapati lelaki berkenaan negatif dadah,” katanya ketika dihubungi, semalam, lapor Harian Metro.
Mengulas perkembangan siasatan, Johari berkata, seramai 18 individu sudah diambil keterangan bagi membantu melengkapkan siasatan kes berkenaan.
Katanya, kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwaan pada Rabu depan untuk tindakan susulan.
Beliau berkata, mangsa berusia 35 tahun itu tidak pernah membuat laporan polis berhubung masalah rumah tangga yang dihadapinya.
Sebelum ini, media melaporkan wanita berkenaan maut selepas dipercayai dibunuh suaminya kira-kira jam 7 malam sebelum lelaki itu dikatakan menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor.
Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan rumah tangga apabila mangsa dikatakan meminta cerai. Suspek juga dilaporkan baru dibebaskan dari penjara atas kesalahan dadah.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat tekanan pada leher selain terdapat kesan tikaman pada bahagian tepi perut dan pipi.





