SEBUAH rumah kedai dan dua buah kenderaan musnah dalam kebakaran di Jalan Parit 13, Sungai Nibong di Sungai Besar hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2 petang dan sebanyak 10 anggota bersama tiga buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dan Sekinchan bergegas ke lokasi.
“Menurut laporan awal kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai dan dua kenderaan iaitu kereta Proton Wira dan Proton Perdana.
“Premis terbabit musnah kira-kira 70 peratus,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Ahmad Mukhlis berkata, anggota bomba bertindak melakukan pemadaman sebelum api berjaya dikawal.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.


