
SEMALAM ketika pergi ke sebuah kawasan perumahan di Jasin, Melaka, penulis tertarik melihat banyak rumah di situ menanam sayur-sayuran.
Walaupun halaman rumah mereka tidak sebesar mana namun pemilik rumah tersebut berusaha menanam cili, kacang bendi, terung dan sawi.
Di sebelah rumah penulis pula, seorang pegawai perubatan menanam terung, pisang dan bendi di belakang rumahnya dan beberapa orang lagi jiran penulis juga melakukan aktiviti yang sama. Apabila melihat mereka mengutip hasilnya, ia agak mengagumkan, kalau terdesak, setakat nak makan untuk dua tiga hari, Insha-Allah cukup.
Jadi penulis agak pelik apabila Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dikritik dan dikecam sebab mencadangkan rakyat menanam sayur-sayuran berikutan ketidaktentuan global akibat perang Iran-AS-Israel.
Sememangnya sejak awal lagi, penulis sudah agak Mat Sabu akan menerima kecaman itu, bukan kerana cadangan beliau tidak bernas atau tidak betul. Sebaliknya ada segelintir kita khususnya orang Melayu pemikiran mereka tak ubah-ubah termasuklah ahli politik.
Kalau kerajaan saran sahaja buat sesuatu berkaitan pertanian, pasti kena kecam, seolah-olah untuk tanam sayur-sayuran di kawasan rumah satu benda yang sukar atau ganjil. Mentaliti mereka ini tidak berubah dan tidak mungkin berubah.
Penulis masih ingat ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, Allahyarham memberi penekanan terhadap sektor pertanian.
Ketika itu ramai yang mengkritik kerana menganggap Allahyarham hendak membawa negara ke belakang. Tetapi akhirnya ternyata apa yang disarankan oleh Allahyarham memberi manfaat besar kepada rakyat dan negara.
Allahyarham membawa lonjakan besar dalam sektor pertanian negara, termasuk peningkatan ketara bagi peruntukan pembangunan pertanian.
Bekas Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapha Mohamed yang menjadi Menteri Pertanian pada tahun 2008 berkata, keprihatinan Allahyarham terhadap sektor itu telah memberi impak luar biasa kepada pembangunan pertanian negara.
“Di bawah kepimpinan Pak Lah, berlaku peningkatan besar dalam peruntukan kepada sektor pertanian. Bangunan Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang juga dibina semasa zaman beliau dan pada 2008, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) pertama di MAEPS telah diadakan dengan penglibatan aktif beliau sendiri selaku Perdana Menteri,” kata Mustapha.
Kejayaan Allahyarham itu telah menutup ‘mulut-mulut puaka’ yang memandangkan remeh bidang pertanian. Oleh itu tidak ada salahnya Mat Sabu membuat saranan supaya kita menanam sayur.
Saranan Mat Sabu itu bukannya perkara luar biasa, sebelum inipun ramai sudah menanam sayur-sayuran di kawasan rumah masing-masing, walaupun tanah tidaklah sebesar mana.Tetapi ia sedikit sebanyak boleh menjimatkan belanja. Mat Sabu sendiri menanam pelbagai jenis sayur-sayuran di kawasan rumahnya.
Ketika ini kita belum ada masalah bekalan sayur-sayuran atau makanan lagi, tetapi bagaimana kalau berlaku situasi bekalan terhad atau paling buruk bekalan terputus, masa itu barulah kita sedar cadangan Mat Sabu betul atau tidak.
Tindakan Mat Sabu mempertahankan seruan beliau adalah tepat dengan menegaskan negara maju seperti Singapura dan Jepun juga mementingkan pertanian bandar dan menggalakkan tanaman sendiri walaupun memiliki dasar makanan yang kukuh.
Jangan lupa pada September 2024, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memperkenalkan Kit Pertanian Bandar untuk orang ramai dengan slogan ‘’Satu Rumah Satu Tanaman’’.
Melalui pengenalan kit berkenaan, NAFAS berharap ia akan dapat memudahkan lebih banyak keluarga di kawasan bandar untuk mula menanam sayur di rumah masing-masing.
Ketua Jabatan NAFAS Agri Services Sdn Bhd Abdul Khaliq Rahim berkata, kit yang dijual pada harga RM40 itu lengkap dengan segala keperluan untuk menanam sayur di rumah yang mengandungi bekas tanaman, tanah, benih dan baja 15/15/15 keluaran NAFAS.
“Kita memang ingin galakkan supaya setiap rumah mempunyai satu tanaman kerana di samping satu amalan yang lestari, ia juga dapat membantu untuk menampung sedikit beban kos sara hidup.
”Dengan kit ini, orang ramai boleh dapati bahawa ia sebenarnya sangat mudah untuk menanam sayur sendiri di rumah dan sayur-sayuran yang disediakan juga adalah jenis yang mudah tumbuh dan dijaga,” katanya.
Abdul Khaliq berkata setiap kit boleh digunakan bagi tiga atau empat kitaran tanaman dengan setiap kitaran mengambil masa kira-kira sebulan sebelum sayuran yang ditanam matang dan sedia untuk dituai.
Oleh itu penulis setuju Mat Sabu tidak melayan kritikan yang mungkin dibuat atas sentimen tertentu atau pemikiran mereka masih tidak berubah. Hakikatnya, kalau kita rajin… tanah ‘sekangkang kera’ pun kita akan tanam sayur-sayuran, tetapi kalau sudah pemalas ada tanah seekarpun hanya dibiarkan jadi’ taman permainan ‘ beruk sahaja.


