Saya kekal bertanding di Parlimen Pandan – Rafizi

AHLI Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli memaklumkan beliau akan kekal bertanding di kerusi Parlimen Pandan dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), namun kali ini atas tiket Parti Bersama Malaysia.

Dalam sidang media selepas Majlis Pengumuman Hala Tuju Politik beliau hari ini, bekas Timbalan Presiden PKR itu menjelaskan, buat masa ini parti baharu yang diambil alihnya belum memutuskan sebarang sasaran jumlah kerusi akan ditandingi mereka dalam PRU.

“Saya akan bertanding di (Parlimen) Pandan atas tiket (Parti) Bersama (Malaysia). Terlalu awal untuk berkata sekarang (jumlah kerusi ditandingi). Saya sudah bagi petunjuk bahawa pendekatan kami ialah kita akan melihat kepada semua kerusi dan setiap kerusi di seluruh negara.

“Kita akan tengok kepada data. Dalam tempoh dua, tiga bulan akan datang, saya ingat munasabah untuk mula bercakap tentang berapa banyak kerusi. Kita juga kena tengok dalam tempoh satu, dua bulan ini bagaimana sambutan rakyat. Berdasarkan itu, kita boleh tengok keperluan dan juga penerimaan untuk bertanding, saya ingat dalam Julai, Ogos, masa terbaik (untuk putuskan),” katanya.

Beliau berkata, ketika ini juga parti baharunya tidak terikat untuk bekerjasama dengan mana-mana gabungan politik sedia ada.

“Kita tidak terikat kepada nak isi orang itu, nak bincang dengan orang ini. Kita ‘multiracial’ dan kita boleh bertanding di mana-mana kerusi.

“Sebab itu, macam saya sebut tadi, jika ada kesepadanan dari segi sokongan, kehendak pengundi di kawasan itu, kita akan bertanding di mana-mana kerusi yang dipegang oleh mana-mana parti, baik PH (Pakatan Harapan), PN (Perikatan Nasional) atau pun BN (Barisan Nasional),” katanya.

Beliau juga menjelaskan, tiada keperluan dirinya membayar sebarang bon kepada PKR, memandangkan beliau sendiri sudah memutuskan untuk mengosongkan kerusi Parlimen Pandan yang disandangnya ketika ini.

“Saman PKR atau pun bon yang PKR ada itu adalah kalau kami keluar parti dan masuk parti lain sebagai Ahli Parlimen. Sebab sebelum ini tidak ada Ahli Parlimen yang sanggup mengosongkan kerusi. Semua mahu jadi Ahli Parlimen, tapi nak tukar parti.

“Jadi yang kami buat pada hari ini ialah kami mengosongkan kerusi dan mengembalikan mandat itu kepada rakyat. Bila kami keluar sebagai anggota PKR pada Selasa ini, sebenarnya itu tidak terikat dengan bon. Sebab itu kami memilih mengambil langkah ini,” katanya sambil menjelaskan keputusan sama ada perlu Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di Parlimen Pandan dan Setiawangsa juga perlu dirujuk kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Dalam pada itu, Rafizi menjangkakan lebih ramai pemimpin termasuk berstatus Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan menyertai Parti Bersama Malaysia dalam masa terdekat atau selepas Parlimen dibubarkan.

“Saya dan Nik (Nazmi Nik Ahmad) mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan platform ini terlebih dahulu. Saya yakin sebenarnya ada ramai lagi di kalangan wakil rakyat ataupun Ahli Parlimen, ADUN yang bila sudah ada platform ini, akan mula membuat pertimbangan masing-masing. Cuma cabaran paling besar ialah ada kekangan akta lompat parti.

“Jadi, itu mengikat Ahli-Ahli Parlimen atau ADUN-ADUN lain, bukan sahaja daripada PKR, Amanah, DAP, juga yang dalam Bersatu di mana mereka tak boleh buat apa-apa sekarang. Jadi, sebab itu saya dan Nik perlu merintis jalan itu untuk menubuhkan satu platform dan menyediakan platform itu terlebih dahulu. Keputusan lain itu adalah terpulang kepada wakil-wakil rakyat yang lain,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img