ANALISIS
PENULIS ‘tertarik’ bila Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan gabungan Perikatan Nasional (PN) semakin kukuh dan bersedia kembali mentadbir Putrajaya pada PRU-16.
Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, PN kini diwakili semua kaum dan semakin ramai rakyat menunjukkan minat menyertai parti gabungan.
“PN kita telah lengkap diwakili semua kaum dan semakin hari semakin ramai orang menyertai PN,” katanya ketika berucap pada Rumah Terbuka Deepavali MIPP.
Baguslah kalau Muhyiddin ada keyakinan itu.Mungkin beliau perolehi maklumat atau kaji selidik terbaru berhubung kedudukan terkini PN. Jadi sekarang bolehlah Ahli Parlimen Pagoh itu menyelesaikan kemelut dalam Bersatu yang ketika ini bukan kata parah malah sudah kritikal. Jika perbalahan dalam Bersatu tidak selesai, ia juga akan mendatangkan kesan kepada PN.
Sebagai Pengerusi PN – gabungan yang dikatakan semakin kukuh- maka Muhyiddin penuhilah pula gesaan 16 ahli Parlimen Bersatu dalam surat mereka mahu Muhyiddin selesaikan ‘kemelut di muara’ dalam parti berkenaan bukannya memberi alasan seperti…’’tidak campurtangan urusan Lembaga Disiplin’, sebaliknya carilah akar masalah.
Sekarang ini cara Bersatu selesaikan masalah dengan menambah masalah. Tindakan memecat, menggantung apatah lagi melibatkan ahli Parlimen yang dilihat tidak sehaluan dengan Presiden parti bukan langkah terbaik, malah memburukkan lagi keadaan.
Malang sekali bukan kata ahli Parlimen malah Bersatu juga kehilangan ketua-ketua bahagian yang bagus-bagus yang mampu mengukuhkan parti itu dalam usaha mencapai kemenangan dalam PRU16. Mungkin Muhyiddin dan beberapa pemimpin yang tegar menyokong beliau boleh berhujah, tindakan itu urusan Lembaga Disiplin sebab mereka melanggar disiplin parti.
Tetapi satu demi satu pendedahan oleh mereka yang dikenakan tindakan membuktikan ‘ada sesuatu tidak kena dalam percaturan politik yang berlaku dalam Bersatu’. Oleh itu sebagai Presiden, Muhyiddin perlu menyelesaikan kemelut berkenaan. Tidak boleh diserahkan kepada Lembaga Disiplin semata-mata.
Ramai juga yang tertanya-tanya siapa paling berkuasa dalam Bersatu? Presiden, MPT atau Lembaga Disiplin? Bukankah sepatutnya MPT membincangkan dulu sebelum dibawa kepada Lembaga Disiplin? Atau memang Lembaga Disiplin Bersatu ada kuasa mutlak untuk tentukan ambil tindakan apabila mendapat aduan waima kalau ke atas Timbalan Presiden, Naib Presiden atau ketua-ketua sayap sekalipun?
Masihkah kita ingat pada 23 Januari 2023, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Muhyiddin yang mempersoalkan tindakan UMNO memecat dan menggantungkan beberapa pemimpin parti tersebut dengan pertanyaan…’’apa sudah jadi dengan UMNO’’…tetapi dalam tempoh beberapa minggu ini orang bertanya ‘’apa sudah jadi dengan Bersatu?’’.
Oleh itu sebelum Muhyiddin begitu berkeyakinan PN akan sekali lagi mentadbir ke Putrajaya selesaikan dulu kemelut dalam Bersatu, pulihkan sokongan ahli-ahli Parlimen Bersatu terhadap beliau walaupun mungkin sebahagian mereka tidak akan ada dalam PRU-16 nanti.
Jangan sampai orang melihat Muhyiddin mampu menyatukan parti-parti lain dalam satu gabungan tetapi gagal menyatukan Bersatu yang makin haru biru. Bukan apa takut orang kata, ‘’rumahtangga orang lain dia satukan, rumahtangga sendiri berantakan’’…kalau macam itu macam mana nak tadbir Putrajaya…jalan-jalan cari makan kat situ bolehlah.
UNDILAH |



