SEORANG pelajar Tingkatan Tiga kini berada dalam keadaan kritikal selepas disyaki menjadi mangsa buli di asrama di sebuah sekolah Selangor.
Bapa saudara mangsa Muhammad Aidil Mansor, 34, berkata anak saudaranya, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Keputusan imbasan CT scan mendapati anak saudaranya mengalami pendarahan pada bahagian kiri dan kanan otak, selain rahang patah serta kecederaan pada paru-paru.
“Kalau betul jatuh dari tingkat tiga, mestilah patah riuk. Tapi hasil imbasan hanya tunjuk rahang sahaja yang patah. Sebab itu kami syak ada unsur buli,” katanya lapor Sinar Harian.
Susulan itu, Muhammad Aidi berkata, keluarga sudah membuat laporan polis pada jam 5 pagi tadi di Balai Polis Sabak Bernam.
Pada masa sama, keluarga turut mempersoalkan tindakan pihak sekolah yang didakwa lewat memaklumkan kejadian kepada penjaga.
“Keluarga hanya dimaklumkan pada jam 4 pagi, sedangkan kejadian berlaku jam 2 pagi,” katanya.
SEMENTARA itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti semua aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pada masa sama – Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden sekolah yang seorang pelajarnya terbabit kemalangan, ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sehingga proses siasatan selesai.
“Saya mengambil perhatian kemalangan yang membabitkan seorang pelajar di sebuah sekolah di Selangor hari ini.
“Pelajar berkenaan sedang mendapat rawatan di hospital. Laporan kepada pihak polis telah dibuat supaya siasatan lanjut boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Fadhlina berkata, beliau akan memastikan siasatan dijalankan secara terperinci semua aspek berkaitan termasuk dakwaan buli dalam kejadian ini.
“Saya mendoakan supaya anakanda diberi kesembuhan segera dan keluarga diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazi Kahar, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.
“Siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan rakan sekelilingnya,” katanya dalam kenyataan.


