Serang Iran : AS-Israel bersalah tapi negara ‘tok’ Arab lagi bersalah

FOKUS AHAD

DUNIA kini berada dalam kebimbangan. Perang Iran menentang pencerobohan Amerika Syarikat (AS)-Israel akan menyebabkan pasaran kewangan terjejas dan krisis tenaga berada di ambang pintu.

Segalanya berlaku akibat keangkuhan dan kebiadaban dua buah negara tersebut yang kini bagaikan menguasai dunia. Tindakan mereka menyerang Iran bakal membawa petaka besar kepada semua negara.

Banyak negara mulai kelam-kabut membuat persiapan kerana bimbang perang yang tidak tahu bila akan berakhir itu dijangka membawa impak besar kepada ekonomi. Ini bukanlah kali pertama AS-Israel menyusahkan dunia.

AS-Israel berani bertindak khususnya ke atas negara Islam disebabkan negara-negara Islam tidak sepakat. Atas sebab itulah bagi penulis, apa yang berlaku di Iran kini bukan sahaja AS-Israel bersalah malah negara-negara Arab seperti Arab Saudi, Bahrain,Kuwait,Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan dan Mesir lagi bersalah.

Tujuh negara ini dikatakan mempunyai hubungan ketenteraan yang erat dengan AS sehinggakan negara kuasa besar itu boleh menjadikan mereka sebagai platform untuk menyerang negara Islam lain.

Sebagai contoh, Arab Saudi dianggap sekutu utama AS di Timur Tengah sejak Perang Dunia Kedua. Mereka menjadi pembeli senjata terbesar dan aset ketenteraan yang lain dari AS seperti jet F-15, sistem Patriot dan lain-lain.  Qatar pula menempatkan Pangkalan Udara Al-Udeid, pangkalan tentera terbesar AS di Timur Tengah. Digunakan oleh tentera udara AS untuk operasi di Iraq, Syria dan Afghanistan.

 Bahrain menjadi lokasi ibu pejabat United States Fifth Fleet untuk operasi tentera laut AS di Teluk Parsi manakala  Kuwait adalah sekutu rapat sejak Perang Teluk 1991 apabila AS membantu membebaskan Kuwait dari Iraq. Kuwait juga digunakan sebagai pusat logistik dan pangkalan tentera AS.

UAE yang merupakan negara Arab paling moden dari segi teknologi ketenteraan, mengendalikan latihan bersama dan membeli jet F-16 serta sistem pertahanan AS.

Jordan pula sekutu strategik AS dalam operasi keselamatan di rantau Levant dan banyak menerima bantuan ketenteraan dan latihan dari AS. Sementara  itu Mesir antara penerima bantuan ketenteraan terbesar dari AS sejak Perjanjian Camp David 1978. Tentera Mesir menggunakan banyak sistem senjata Amerika seperti jet F-16 dan kereta kebal Abrams.

Disebabkan hubungan inilah AS tidak pernah takut untuk menyerang mana-mana negara Islam kerana negara-negara Arab terlibat akan sentiasa menyebebelahi AS. Paling malang mereka sanggup membenarkan AS mewujudkan pangkalan tentera yang terbukti digunakan untuk membunuh orang Islam sendiri.

Apa yang berlaku di Palestin sudah menjadi bukti bagaimana negara-negara itu hanya sekadar retorik mengecam penjajahan Israel. Tiada tindakan konkrit dilakukan untuk menghentikan keibadaban Zionis dan AS di Gaza.

Negara-negara itu begitu pantas menyokong pelan damai dan gencatan senjata anjuran Trump. Bagaimanapun mereka tidak berbuat apa-apa apabila Israel dengan sokongan AS sewenang-wenangnya mencabul pelan damai dan gencatan senjata tersebut. Akibatnya sehingga ke hari ini rejim Zionis terus membunuh rakyat Palestin dan menghancurkan Gaza sehancur-hancurnya.

Sikap hipokrit dan retorik negara-negara Arab berterusan apabila  AS-Israel melakukan pencerobohan ke atas kedaulatan Iran. Dan kali ini tidak seperti di Gaza, negara-negara ‘tok’ Arab tersebut kelam kabut apabila Iran bertindak balas.

Sasaran Iran bukan sekadar menyerang Israel tetapi juga menghancurkan semua kepentingan AS di Asia Barat. Tidak cukup dengan itu, Iran juga menghalang kapal menghantar minyak di Selat Hormuz.

Selain itu mereka juga semakin bimbang apabila sekutu dan kawan baik mereka iaitu AS dan Israel kini di ambang kekalahan. Akibat tidak menghiraukan amaran awal Iran supaya negara Republik Islam itu tidak diserang, negara-negara Arab tersebut semakin merasai bahang.

Pada masa sama buat pertama kali di Dubai, warga Arab yang selama ini hidup senang lenang berebut-rebut membeli barang makanan kerana bimbang perang Iran melawan pencerobohan AS-Israel berterusan.

Berikutan itulah Jurucakap Kanan Angkatan Tentera Iran Abolfazl Shekarchi meminta pemimpin negara-negara Islam di Asia Barat serta negara jiran supaya mempercayai Iran sambil menegaskan bahawa Republik Islam itu bukan punca ketidakstabilan, sebaliknya AS yang bertanggungjawab mencetuskan kekacauan.

Beliau berkata, Iran sentiasa berusaha memastikan keselamatan rantau Asia Barat dan bekerjasama dengan negara-negara Islam dan tegasnya hanya melalui perpaduan dunia Islam mereka mampu berdepan dengan apa yang disifatkannya sebagai sistem dominasi dan kuasa besar global.

Shekarchi turut mendakwa bahawa faktor utama yang menyebabkan ketidakstabilan di Asia Barat ialah kehadiran AS dan negara kuasa besar itu telah menipu sebahagian negara di rantau itu dengan alasan menyediakan keselamatan, lalu menubuhkan pangkalan tentera di wilayah mereka.

Tetapi kata beliau, pengalaman beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan bahawa pangkalan tentera AS di Asia Barat bukan diwujudkan untuk menjaga keselamatan, tetapi bagi menguasai sumber serta kepentingan negara-negara Islam.

Penulis percaya, negara-negara Asia Barat tahu fakta ini tetapi mereka ‘butakan mata’ untuk menerima hakikat tersebut. Sebaliknya mereka lebih melihat Iran sebagai ancaman sedangkan sudah terdedah bahawa AS-Israel adalah ‘musuh dalam selimut’ paling nyata.

Atas sebab itulah apabila dunia akan menerima impak daripada perang Iran menentang pencerobohan AS-Israel  ini, negara-negara Arab itu juga bertanggungjawab atas apa yang berlaku!

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img