SEORANG bilionair dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Khalaf Ahmad Al Habtoor menulis surat terbuka kepada Presiden Donald Trump, mengkritik sekeras-kerasnya keputusan Amerika Syarikat (AS) yang menurutnya menyeret rantau Timur Tengah ke dalam peperangan dengan Iran.
Dalam surat tersebut, Al Habtoor mempersoalkan tindakan Washington.
“Siapa yang memberi anda kuasa untuk menyeret rantau kami ke dalam perang dengan Iran? Siapa yang membenarkan anda menjadikan Timur Tengah sebagai medan perang?”, katanya lapor The Middle East.
Beliau turut mempertikaikan sama ada keputusan itu benar-benar dibuat oleh AS atau dipengaruhi oleh tekanan daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Al Habtoor memberi amaran bahawa negara-negara Teluk kini berada di tengah-tengah risiko besar yang tidak pernah mereka pilih.
Menurutnya lagi, terdapat percanggahan jelas antara usaha damai yang sering dipromosikan oleh Washington dengan peningkatan ketenteraan yang berlaku sekarang.
Beliau menegaskan bahawa negara-negara Teluk telah membiayai pelbagai inisiatif keamanan, namun kini berdepan ancaman dan ketidakstabilan yang semakin meningkat.
Al Habtoor juga memberi amaran bahawa konflik berpotensi menelan kos puluhan bilion dolar, sedangkan rakyat AS dijanjikan keamanan dan bukannya satu lagi peperangan yang mahal.
Al Habtoor menutup mesejnya dengan menekankan bahawa kepimpinan sejati tidak diukur melalui keputusan untuk berperang.
“Kepimpinan sebenar bukan diukur melalui keputusan perang, tetapi melalui kebijaksanaan, rasa hormat terhadap orang lain dan usaha mencari keamanan.”


