Sindiket proses air ketum tumpas, rampasan lebih RM76,000

SINDIKET memproses dan menjual air ketum berjaya ditumpaskan selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor dalam dua serbuan berasingan di kawasan Kempas pada 27 Februari lalu.

Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, serbuan pertama kira-kira jam 9 malam dilakukan di sebuah rumah di Kampung Kempas Denai.

Menurutnya, tiga suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga Indonesia berusia antara 28 hingga 35 tahun berjaya ditahan dalam operasi yang dijalankan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) bersama Cawangan Risikan Zon Selatan serta anggota Cawangan Narkotik Johor.

“Hasil pemeriksaan menemukan timbunan bungkusan plastik mengandungi daun disyaki ketum serta dua tong berisi botol mengandungi cecair dipercayai air ketum yang disembunyikan dalam sebuah bilik.

“Rampasan di lokasi itu membabitkan daun ketum seberat 103 kilogram bernilai RM4,120 dan air ketum sebanyak 189.5 liter bernilai RM5,685,” katanya dalam sidang media di Menara Kastam Johor, hari ini, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, suspek lelaki dipercayai bertindak sebagai pengurus manakala dua wanita terbabit sebagai pekerja dan penjual.

Tambahnya, serbuan kedua dilakukan kira-kira jam 9.30 malam di sebuah premis kilang di Taman Kempas Utama yang didapati berkunci dan tidak berpenghuni.

“Di lokasi kedua, pasukan merampas daun ketum seberat 442.9 kilogram dianggarkan bernilai RM17,716 serta air ketum sebanyak 1,642.5 liter bernilai RM49,275,” katanya.

Menurut beliau, keseluruhan rampasan bagi kedua-dua serbuan dianggarkan berjumlah RM76,796.

“Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menjadikan rumah sewa sebagai lokasi penjualan, manakala premis kilang digunakan untuk memproses air ketum sebelum diedarkan kepada pelanggan tetap dalam kalangan warga tempatan,” ujarnya.

Katanya, air ketum itu dijual pada harga RM16 sebotol, manakala bekalan daun dipercayai diperoleh dari Kedah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img