Sistem pendidikan perlu kuasai bidang baharu, lahirkan generasi guru berakhlak – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim mengingatkan, sistem pendidikan negara perlu melahirkan guru yang bukan sahaja menguasai bidang baharu dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) seperti kecerdasan buatan (AI), malah harus berteraskan akhlak dan nilai kemanusiaan.

Perdana Menteri berkata, dalam mendepani perubahan pesat dunia, pendidikan tidak boleh sekadar meneruskan kurikulum dan pedagogi sedia ada, sebaliknya perlu bersifat dinamik bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam menguasai teknologi baharu.

Bagaimanapun Anwar berkata, penguasaan teknologi moden semata-mata tidak memadai sekiranya tidak diseimbangkan dengan pembinaan sahsiah, akhlak serta nilai kemanusiaan dalam kalangan pendidik dan pelajar.

“Ini saya ungkapkan ‘menggapai yang di langit, tetapi berakar ke bumi’ iaitu menguasai teknologi baharu tanpa mengabaikan agama, budaya, moral dan nilai kemanusiaan.

“Kalau kita mahu tingkatkan keupayaan negara, tumpuan pertama mestilah kepada bidang pendidikan dan keduanya pantas menangkap perubahan yang berlaku di dunia” kata beliau ketika berucap pada Program Temu Anwar Bersama Pelajar dan Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik (KPT) di Bandar Enstek, Nilai hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Pengarah IPGKPT, Dr Kartini Abdul Mutalib.

Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa pendidikan tidak akan mencapai matlamat sebenar sekiranya guru atau pelajar disemai dengan sentimen kebencian terhadap kaum dan agama lain.

Menurut Anwar, masyarakat majmuk di Malaysia perlu memperkukuh kefahaman antara kaum dan agama kerana perbezaan tidak seharusnya menjadi punca perpecahan.

“Tidak ada negara di dunia, walau sehebat mana sekalipun, yang akan selamat dengan menanam bibit kebencian kaum atau agama. Yang perlu diangkat ialah nilai kemanusiaan.

“Kalau kita mahu membina negara ini, mesti ada toleransi, hormat-menghormati dan menjunjung nilai kemanusiaan. Barulah kita boleh mengangkat mutu pendidikan dan membina masyarakat yang benar-benar maju,” kata beliau.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img