SKMM menang tuntutan saman terhadap pentadbir Edisi Siasat, Edisi Khas

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini menang dalam tuntutan samannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap dua pentadbir saluran Telegram `Edisi Siasat’ dan `Edisi Khas’ berhubung penyebaran kandungan memudaratkan.

Perkara itu diputuskan selepas SKMM berjaya mendapatkan penghakiman ingkar terhadap kedua-dua defendan pertama dan kedua pada prosiding yang dijalankan di hadapan Hakim Mahazan Mat Taib.

Mahkamah memutuskan demikian selepas dua individu tidak dikenali yang merupakan pentadbir saluran Telegram Edisi Siasat dan Edisi Khas, gagal menjawab tuntutan saman yang difailkan SKMM.

SKMM melaksanakan penyampaian gantian tuntutan mahkamah kepada pentadbir saluran itu awal tahun ini dengan menyiarkan iklan dalam beberapa akhbar berbahasa Inggeris dan Melayu.

Hakim Mahazan kemudian menetapkan 27 November ini untuk pengurusan kes selanjutnya, lapor Malaysia Gazette.

Sementara itu, peguam mewakili SKMM, Datuk S.N. Nair dalam kenyataannya berkata, meskipun pentadbir saluran ini kekal tanpa nama, keputusan hari ini mengesahkan bahawa kerahsiaan dalam talian tidak melindungi pesalah daripada akauntabiliti undang-undang.

“Perintah yang diperoleh memberi kuasa kepada SKMM untuk meneruskan usaha penguatkuasaan dan memelihara haknya untuk mendapatkan semula semua kerosakan dan kos guaman sekiranya identiti individu di sebalik saluran ini diwujudkan pada masa hadapan.

“Penghakiman ini menandakan satu langkah penting dalam mengekang penyalahgunaan platform dalam talian tanpa nama untuk menyebarkan maklumat salah, ugutan dan dakwaan berniat jahat,” ujarnya.

Dalam notis yang difailkan oleh SKMM pada 25 September lalu, agensi itu memohon kebenaran memasukkan penghakiman ingkar terhadap kedua-dua defendan bagi mengendorsekan writ saman bertarikh 21 Mei lalu.

Melalui penghakiman ingkar, plaintif mendapat deklarasi bahawa kedua-dua defendan membenarkan atau memudahkan penggunaan salurannya untuk menerbit dan mengedarkan kandungan yang memudaratkan.

SKMM turut memperoleh injunksi mandatori yang mengarahkan kedua-dua defendan untuk serta merta dan secara kekal menurunkan semua kandungan palsu, mengancam dan jelik.

Menurut penghakiman ingkar itu, mahkamah turut mengeluarkan injunksi yang melarang Edisi Siasat dan Edisi Khas, ejen, pekerja atau sekutu mereka daripada terus mengucapkan, menulis, menyebar atau mengedar semula kandungan yang memberi kesan dan maksud serupa.

Sementara itu, peguam Wong Guo Jin yang turut mewakili SKMM memberitahu wakil media selepas prosiding, mahkamah turut memberikan ganti rugi yang akan ditaksir kemudian.

Pada 11 September lalu, mahkamah membenarkan permohonan SKMM bahawa Telegram Messenger Inc (defendan ketiga) dan pentadbir saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas dihalang menyebarkan atau menerbitkan 33 artikel yang memudaratkan awam.

Pada 21 Mei lalu, SKMM selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan dua individu yang tidak dikenali selaku pentadbir saluran Telegram ‘Edisi Siasat’, Edisi Khas serta Telegram Messenger Inc.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa saluran berkenaan terlibat dalam kempen terancang yang menyasarkan Institusi Diraja, badan atau institusi awam sejak 6 Februari 2024.

SKMM turut mendakwa semua defendan menyebarkan berita palsu dan mengelirukan bertujuan mengganggu ketenteraman awam serta melemahkan kepercayaan terhadap tadbir urus negara.

Plaintif mendakwa penerbitan berita palsu berniat jahat untuk mencetus ketidakpuasan hati dan kebencian orang awam terhadap kerajaan Malaysia.

Mereka juga memohon deklarasi bahawa defendan ketiga membantu, bersubahat, memudahkan dan menyumbang kepada penerbitan dan pengedaran kandungan-kandungan berkenaan oleh defendan pertama dan kedua dengan tidak memadamkan saluran berkenaan apabila diarahkan secara statutori.

Pada 19 Jun lalu, SKMM dalam kenyataan berkata, pihaknya telah mengambil langkah tegas dengan memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran di platform Telegram, iaitu Edisi Siasat dan Edisi Khas.

SKMM berkata tindakan itu, merupakan yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial, memandangkan media berkenaan merupakan pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img