PASUKAN Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dijangka berlepas ke Nepal Sabtu ini bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan banjir di negara itu.
Difahamkan, kerajaan Nepal membenarkan kemasukan pasukan SMART untuk menyertai operasi berkenaan selepas beberapa sesi perbincangan diadakan bersama Kementerian Luar (Wisma Putra).
Dalam satu jemputan media, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan, pasukan dari Malaysia dijangka berlepas melalui Pangkalan Udara (PU) Subang pada pagi 5 September.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan memutuskan untuk menghantar pasukan SMART ke Nepal bagi membantu operasi SAR susulan bencana banjir yang melanda negara itu.
Anwar berkata, pasukan SMART turut diamanahkan untuk mengesan dan membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas, selain membantu Kedutaan Besar Malaysia di Nepal menyelaras bantuan serta memastikan keselamatan dan kebajikan mereka.
Beliau berkata, Malaysia juga akan menyalurkan sumbangan sebanyak AS$1 juta kepada Nepal bagi membantu mangsa yang terjejas serta menyokong usaha pemulihan pascabencana.





