KERAJAAN Persekutuan mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempercepatkan proses persempadanan semula kawasan Parlimen di Sabah dan Sarawak susulan persetujuan meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan perkara itu.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, proses berkenaan telah dimulakan dan SPR kini sedang menyelesaikan beberapa perkara sebelum cadangan tersebut dibawa kepada Jemaah Menteri dan seterusnya ke Parlimen.
Beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan komitmen supaya proses persempadanan itu disegerakan.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke kediaman pengamal media Sarawak, Chimon Upon yang terjejas akibat kejadian bumbung bangunan bersebelahan runtuh dan menghempap rumah keluarganya di Kuching, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju meningkatkan nisbah perwakilan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak melebihi kadar semasa, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut Anwar, keputusan itu turut melibatkan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan peningkatan penyertaan Ahli Parlimen dari kedua-dua negeri berkenaan.





