SPRM mohon perintah reman 4 individu termasuk bekas Setiausaha Politik KM Melaka, Ketua Pengarah jabatan kerajaan

SURUHANJAYA  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memohon reman terhadap empat individu membabitkan dua kes berasingan.

Kes pertama melibatkan bekas Setiausaha Politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka dan isterinya yang disyaki meminta serta menerima rasuah kira-kira RM3 juta sebagai balasan membantu sebuah syarikat dilantik sebagai konsesi projek penambakan laut di sekitar Melaka.

Pasangan suami isteri itu ditahan kira-kira jam 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Siasatan awal mendapati suspek yang bergelar Datuk Wira itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan antara Februari hingga November 2021.

Menurut sumber, wang rasuah yang diterima disyaki digunakan untuk membeli sebuah unit kondominium di sekitar Lembah Klang.

Sementara itu, kes kedua membabitkan permohonan reman terhadap dua pegawai pengurusan tertinggi sebuah jabatan kerajaan masing-masing berpangkat Ketua Pengarah dan Pengarah.

Menurut SPRM, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 1 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung kesalahan menerima sejumlah wang ke dalam akaun selepas disyaki bersubahat menyeleweng dana kira-kira RM900,000 pada tahun 2024.

Kedua-duanya dipercayai menyalahgunakan kuasa dan kedudukan dengan menggunakan peruntukan kewangan jabatan berjumlah kira-kira RM900,000 untuk kepentingan peribadi.

Mereka juga didapati mengemukakan tuntutan palsu serta dokumen mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM60,000 bagi menunaikan umrah ketika menghadiri urusan rasmi di Jeddah pada 29 Januari hingga 4 Februari tahun lalu.

Keempat-empat suspek tiba di mahkamah kira-kira jam 9.10 pagi menaiki kenderaan SPRM.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img