Pelantikan Datuk Bandar KL : Apakah mahu dijadikan gelanggang politik?

 

BAHAGIAN PERTAMA

Isu hangat

DESAS -desus usaha mendesak kerajaan mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan ( PBT), termasuk pilihan raya memilih Datuk Bandar, bukan cerita baharu.

Sejak awal 2007 lagi isu ini rancak dicuit. Yang mencuitnya hanya satu institusi saja, iaitu institusi politik yang satu ini. Apabila Barisan Nasional (BN) menang tipis dalam pilihan raya umum (PRU12) pada Mac 2008, isu ini semakin hangat dicuit, oleh institusi yang sama.

Sebelum Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa meninggalkan pejabatnya, isu ini sudah diangkat untuk tindakan lanjut. Akan tetapi beliau memilih untuk mengambil tindakan sama seperti lain-lain isu kepentingan atau isu kehendak rakyat.

Apabila penggantinya, Hannah Yeoh mengambil alih tugas Menteri Wilayah Persekutuan, beliau dilihat mengangkat dan mempopularkan isu ini. Beliau menyatakan usaha ini baru di peringkat kajian dan kerajaan telah melantik pihak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi tujuan itu.

Mengapa perlu disebut  baru memasuki peringkat kajian dan mengapa perlu disebut siapa yang akan menjalankan kajian, sambil menyatakan ia tiada kena mengena dengan DAP?

Status pentadbiran bandar raya

Selepas kerajaan membatalkan sistem pilihan raya kerajaan tempatan sekitar tahun 1963 dan syor bagi mengembalikannya oleh Suruhanjaya Siasatan Athi Nahapan 1965-68 ditolak oleh kerajaan ketika itu, semua PBT menjadi institusi eksekutif sepenuhnya.

 Tidak perlu habiskan banyak masa, sumber dan dana bagi mengendalikan pilihan raya memilih Yang Dipertua atau Datuk Bandar serta ahli majlisnya. Akta Kerajaan Tempatan digubal (Akta 171). Selama tiga tahun, sejak 1973, ordinan berkaitan berperanan sebagai akta sementara. Akta 171 mula berkuat kuasa sejak 1976.

Sebagai institusi eksekutif, pelantikan ketua jabatan PBT, sama ada Datuk Bandar atau Yang Dipertua, serta ahli majlis adalah budi bicara kerajaan.

Kuasa melantik

Bagi Datuk Bandar Kuala Lumpur, kuasa melantik dan semua Ahli Majlis Penasihat DBKL adalah di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Dari segi urusan pentadbiran, ia diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Lain-lain PBT, termasuk bandar raya di setiap negeri, ada sedikit perbezaan dari segi kuasa melantik Datuk Bandar atau Yang Dipertua dan Ahli Majlisnya. Dari segi pentadbiran, ia diselaraskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Sejarah pilihan raya PBT,  Rancangan Malaysia, penganjuran KEB & penggubalan DEB 1970

Sejarah pilihan raya PBT yang bermula di Pulau Pinang, ada rasionalnya  kenapa ia dihentikan dan PBT diislah menjadi institusi eksekutif.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja diketuai Senator Athi Nahapan (1965-1968) ditolak oleh Kerajaan Barisan Nasioanl (BN) ketika itu. Kerajaan berbuat demikian atas alasan mengurangkan peranan institusi legislatif dalam urusan pentadbiran. Ia juga sekaligus mengurangkan politiking dalam kalangan rakyat Malaysia.

Secara kebetulan, suruhan jaya itu dibentuk ketika institusi perancang (kini dikenali sebagai EPU) hampir selesai menyediakan RMK Pertama (1966-1970) yang dilihat mengheret Malaysia mengamalkan ekonomi pasaran terbuka, sedangkan majoriti rakyat Malaysia (terutama bumiputera) masih terkial-kial menceburi bidang ekonomi.

Demografi penduduk bandar dikuasai bukan bumiputera, maka jika pilihan raya PBT dilaksanakan, bukan bumiputera dan warga asing akan terus meminggirkan bumiputera dalam perkongsian kek ekonomi.

Pemimpin negara ketika itu juga dapat merasakan bila RMK1 dilaksanakan, ekonomi kaum bumiputera akan semakin tercicir. Lantas, dalam tempoh yang sama itu (1965-1968), dua Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) dianjurkan kerajaan, iaitu KEB1 pada Jun 1965 dan KEB2 pada September 1968. Banyak institusi eksekutif baharu ditubuhkan dan ramai bumiputera dilantik mengisi jawatan di dalamnya, ia bertepatan dengan peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

 Tidak cukup dengan itu, kerajaan juga mengambil tindakan segera merencanakan formula dan resipi baharu untuk menyediakan kerangka Rancangan Malaysia Kedua dan seterusnya. Hatta DEB 1970 digubal dengan sasaran awal ia digunakan sebagai Dasar Induk Negara.

Jelas sekali, kerajaan ketika itu berusaha dengan pelbagai cara menubuh dan memperkasakan institusi eksekutif awam serta korporat dan  pada masa sama mengurangkan penglibatan institusi legislatif dalam pentadbiran negara.

Buat sekian lama, usaha pengislahan itu berjaya. Sistem penyampaian awam diperkasakan. Penyelarasan pelaksanaan diperkemaskan dengan penubuhan ICU, manakala SERU ditubuhkan bagi mengkaji dan membuat penilaian prestasi setiap agensi kerajaan dan setiap inisiatif pembangunan yang dilaksanakan.

Zaman berubah pantas. Semakin banyak institusi eksekutif awam ditubuhkan dan ditambah pula dengan penubuhan begitu banyak institusi eksekutif korporat, prestasi mereka semakin hambar dan mencetuskan banyak masalah.

SERU dibubarkan maka tiadalah agensi pusat di bawah Jabatan Perdana Menteri meneruskan usaha kajian dan penilaian prestasi. ICU pula lebih tertumpu kepada pengagihan peruntukan belanjawan tahunan manakala  kuasanya dalam penyelarasan pelaksanaan direntap.

 Keperluan transformasi

Jika keperluan transformasi berdasarkan permasalahan prestasi dan keberkesanan sistem penyampaian, serta penyelarasan yang semakin celaru, Majlis Perundingan Melayu (MPM) komited untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak mendesak usaha transformasi radikal dilaksanakan.

 Setakat ini keperluan transformasi untuk rakyat ‘mengambil alih kuasa’ melantik  Datuk Bandar serta melakukan proses lantikan secara pilihan raya, tidak jelas. Oleh itu MPM enggan menyokong usaha ini. Jika keperluannya hanya kerana isu-isu berkaitan prestasi, kredibiliti, integriti dan keupayaan, tidak kuat kewajarannya untuk ditransformasikan sistem pelantikan atau pemilihan itu.

 Jika diandaikan Yang di-Pertuan Agong gagal menitahkan Datuk Bandar untuk lebih berupaya menjalankan tugasnya, adakah dengan memindahkan kuasa memilih Datuk Bandar, ia jalan penyelesaian terbaik? Sangat kabur justifikasinya.

Justeru itulah orang seperti kami terhidu motif lain berkaitan desakan ini (adakan pilihan raya Datuk Bandar).  Pernahkah rakyat atau penduduk Kuala Lumpur misalnya, menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menolak pelantikan Datuk Bandar dan  diganti dengan pegawai lebih berwibawa dan berupaya?

Yang kami nampak, bila ia bertukar status menjadi institusi legislatif, pastinya ia akan menjadi satu lagi gelanggang politik.

*Bahagian Akhir esok : Kos dan Implikasi Politik

*Penulis adalah Setiausaha Agung MPM

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img