SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama pihak berkuasa China berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan antarabangsa yang dikendalikan oleh rakyat China yang dikehendaki pihak berkuasa negara tersebut.
Operasi bersepadu tersebut yang dijalankan menerusi Op Dragon menyasarkan rangkaian sindiket yang dipercayai berpangkalan dan beroperasi di beberapa negara termasuk Malaysia.

Sindiket tersebut telah dikenal pasti menjalankan aktiviti penipuan merentasi sempadan dengan menggunakan pelbagai platform komunikasi dan teknologi bagi memperdaya mangsa.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin memberitahu, melalui beberapa siri operasi yang dijalankan secara bersepadu, SPRM berjaya menahan 16 suspek utama yang merupakan ‘ring leader’, bersembunyi di negara ini.

“Kesemua suspek ini merupakan rakyat China dan mereka telah dihantar pulang bagi tujuan proses perbicaraan di negara China.
“Proses penghantaran pulang dilakukan dengan kerjasama Pejabat Kedutaan China serta Jabatan Imigresen Malaysia dengan semua prosedur perundangan dan diplomatik dipatuhi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam operasi yang sama, SPRM turut menyita pelbagai aset yang dipercayai diperolehi hasil aktiviti haram dan mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah sindiket tersebut.
Antara barangan yang disita termasuk dua unit kereta mewah, barang kemas, jongkong emas, komputer peribadi, komputer riba, wang tunai dalam pelbagai mata wang asing serta ratusan unit telefon bimbit pelbagai jenama yang dipercayai digunakan sebagai alat utama dalam kegiatan tersebut.
Nilai keseluruhan aset yang disita dianggarkan bernilai jutaan ringgit dan kini SPRM sedang menjalankan proses pelucuthakan terhadap aset-aset tersebut selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa sebelum dikembalikan kepada kerajaan Malaysia.
Susulan kejayaan operasi ini, ia membuktikan komitmen berterusan SPRM dalam memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa bagi membanteras jenayah kewangan dan aktiviti penipuan rentas sempadan yang boleh menjejaskan keselamatan ekonomi serta kepentingan negara.
SPRM menegaskan sebarang bentuk penyalahgunaan sistem kewangan, rasuah serta aktiviti penipuan akan terus dibanteras melalui tindakan penguatkuasaan dan kerjasama erat dengan rakan penguatkuasaan di peringkat antarabangsa.


