KONVOI kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) hari ini mengesahkan bahawa mereka telah memasuki zon berisiko tinggi yang pernah menjadi lokasi serangan terhadap flotila terdahulu ketika cuba menembusi sekatan Israel ke Gaza.
“Jumlah dron pengintip yang berlegar di atas kapal kami meningkat dua kali ganda, dan gangguan terhadap internet serta radio semakin ketara,” katanya dalam satu kenyataan dalm media sosial.
Kawasan ini dikenali sebagai zon ‘intersepsi’ oleh tentera laut Israel, di mana flotila sebelum ini telah diserang atau ditahan.
Peserta konvoi kini berjaga-jaga, dengan memakai jaket keselamatan dan bersedia menghadapi kemungkinan serangan malam ini atau esok, lapor Astro Awani.
Menurut laporan, sebuah kapal perang Israel telah dikesan berada kira-kira 80 kilometer dari konvoi GSF.
Organisasi penganjur menyeru perhatian antarabangsa segera, menyatakan bahawa keselamatan mereka bergantung kepada pemantauan global.
“Serangan terhadap flotila ini adalah serangan terhadap Palestin,” tegas kenyataan rasmi mereka.
GSF membawa bantuan kemanusiaan termasuk makanan dan ubatan, serta lebih 500 aktivis dari seluruh dunia.
Misi ini bertujuan memecahkan sekatan laut Israel yang telah berlangsung selama hampir dua dekad dan memburukkan keadaan hidup lebih 2.4 juta penduduk Gaza.
Israel sebelum ini menyatakan bahawa mereka tidak akan membenarkan mana-mana kapal memasuki perairan Gaza dan telah merancang untuk menunda kapal-kapal GSF ke pelabuhan Ashdod. Terdapat kebimbangan bahawa sebahagian kapal mungkin akan ditenggelamkan sebagai langkah pencegahan.
GSF kini menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak, menyebarkan mesej solidariti dan mendesak laluan selamat bagi konvoi ini.
Misi ini bukan sahaja membawa bantuan, tetapi juga menjadi simbol penentangan terhadap pengepungan dan kekejaman yang berterusan di Gaza.