SUARA AWANG SELAMAT
NAMPAKNYA isu hubungan antara Pas dan Bersatu makin panas, apabila hari ini bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin Yassin, Dr.Marzuki Mohamad mendakwa, Pas menang 43 kerusi dalam PRU-15 adalah hasil bantuan kewangan yang diberikan oleh Bersatu.
Dr.Marzuki nak jawab dakwaan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor semalam bahawa parti komponen PN banyak bergantung kepada jentera dan kewangan Pas untuk bertanding dalam pilihan raya. Sanusi juga kata, ‘’Sebelum ni semua peralatan itu kita bayar, depa mai bertanding syok aja. Habis tu nak jadi ketua? Duit tak dak, jentera tak dak, (harap) kita (Pas) semua.’’
Awang tak salahkan Dr.Marzuki atau pemimpin Bersatu yang tersinggung kata-kata Sanusi. Khabarnya ada pemimpin Bersatu kata Pas ‘dah sombong, angkuh’. Tak apalah orang tengah marah…apapun terkeluar dari mulut. Macam suami isteri la, bila gaduh..masing-masing ungkit mengungkit, apa terlintas kat kepala..tu yang diucap.
Cuma Awang nak minta masing-masing fikir balik, apa punca semua ini berlaku? Dari Bersatu atau Pas? Yang Awang tahu, segalanya ‘start’ bila Bersatu calon Muhyiddin jadi PM. Pas tak berapa seronok sebab Pas nak menang pilihan raya dulu baru cerita pasal sapa PM.
Lagipun ada sumber bagi tau Awang, 99.9 peratus Pas tak nak lagi Muhyiddin jadi PM, Pas nak orang lain. Awang tak payah sebut sapa orang tu, nanti ada orang kata Awang ‘ejen madani’, ‘kena bayar’ dan macam-macam lagi. Tapi itu fakta sebab tu bila muktamar, Pas dah cakap soal nak jadi ‘kepala’ PN…ia mesej jelas kepada Bersatu dan Muhyiddin.
Awang rasa lebih baik dua-dua pihak bertenang dan biar Majlis Presiden PN tentukan cadangan Pas nak jadi peneraju PM dan siapa calon PM? Tak berbaloi hanya kerana seorang dua dok dalam Bersatu jadi ‘si kantoi’ nak juga Muhyiddin jadi PM… hubungan Bersatu-Pas jadi retak.
Awang rasa musuh politik PN dah standby nak buat kenduri pisang bila tengok Bersatu-Pas gaduh…bila berpecah saja terus dia orang sembelih lembu…makan besar sebab PRU-16 laluan dia orang dah mudah. Cuma Awang nak tanya kalau Bersatu berpecah dengan Pas, siapa untung siapa rugi? Kalau tengok sejarah politik Pas, Awang tak rasa Pas akan rugi.
Jadi sekali lagi Awang nak tanya, berbaloikah hanya kerana isu calon PM, pakatan dua parti Melayu tu hancur? Kalau itu berlaku Pas tak akan tergugat. Pas dah tempuh macam-macam dah sejak parti tersebut wujud pada tahun 1951. Tapi macam mana dengan Bersatu? Bolehkah Bersatu mendapat sokongan orang Melayu?
Bersatu kena fikir betul-betul. Hati-hatilah juga dengan mainan politik dalaman. Sebab Awang selalu dok cakap kat kawan-kawan, musuh kita senang kenal tapi kalau ‘musuh dalam selimut’ tu susah nak tahu. Awang tak tahulah dalam Bersatu ada ke tak spesis itu..Awang harap tak ada la.
Awang harap dua-dua parti bertenang, jangan sampai nak buat politik ‘bumi hangus’, menang jadi arang kalah jadi abu…kalau aku tak dapat, kau pun tak dapat. Runding dan bincang elok-elok walaupun Awang tahu agak susah selagi ada ‘kerikil dalam sepatu’.
Awang – tengok saja