POLIS percaya suspek lelaki yang terbabit dalam kejadian letupan di kawasan Desa Palma, Nilai, Negeri Sembilan pada 22 Disember lalu memiliki pengetahuan teknikal dan kemahiran khusus dalam penghasilan bahan letupan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, polis turut menemukan peranti dan peralatan di rumah sewa suspek yang dikenali sebagai Yeoh Hock Sun, 62, termasuk alat pencetus letupan, bahan pencuci mudah bakar dan karbon selain unsur belerang.

Menurut beliau, suspek yang turut dikenali sebagai ‘Ayang’ mempunyai pengetahuan dalam bidang kimia dan pernah bekerja di kilang farmaseutikal selama tiga tahun sebelum ini selain berpengetahuan dalam bidang teknologi maklumat (IT).
“Penilaian terhadap bahan letupan itu mendapati bahan terbabit berada dalam keadaan sempurna, iaitu dari segi penyediaan bahan dan peranti yang digunakan termasuk pemasa dan sensor selain kegiatan itu dipercayai dilakukan sejak enam bulan lepas,” katanya dalam sidang media kes terbabit di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan hari ini.
Dalam kejadian Isnin lalu, polis menemukan objek bahan letupan buatan sendiri atau improvised explosive device (IED) dalam kejadian letupan di kawasan perumahan Desa Palma di Nilai berikutan aduan orang awam berlaku letupan objek di kawasan itu pada jam 7.08 pagi.
Mengulas lanjut, Alzafny berkata, suspek kini diklasifikasikan sebagai individu berbahaya dan amat dikehendaki kerana dipercayai terlibat secara langsung dalam penyediaan bahan letupan terbabit selain mempunyai satu kes jenayah lampau di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Katanya, pemeriksaan di rumah lelaki itu yang disyaki dijadikan sebagai makmal juga turut menemukan 31 lagi bahan peranti IED dengan kesemuanya telah dimusnahkan polis.
Dalam pada itu, Alzafny berkata, hasil pemusnahan yang dilaksanakan Unit Pemusnah Bom mendapati bahan letupan berkenaan mempunyai radius letupan hingga 20 meter, manakala serpihan boleh menjangkau sejauh 30 meter.
“Barang yang digunakan adalah paku dan pisau lipat yang diserpihkan secara halus, jadi melihat kepada penyediaan tersebut, kita tafsirkan bahawa dia mempunyai pengetahuan menyediakan suatu bahan letupan yang sempurna,” katanya.
Alzafny berkata, suspek disifatkan sebagai sangat berbahaya kerana bijak menyembunyikan identiti dengan memakai pelitup muka atau bertopi selain turut mengenakan rambut palsu apabila berada di luar atau dalam kelompok masyarakat.
“Soal siasat terhadap saksi turut mendapati dia menghindarkan diri daripada orang ramai selain seorang yang agresif, telah berpisah dengan isteri, anak dan keluarga lebih 30 tahun lepas serta ada sejarah pernah memukul kekasihnya,” katanya sambil menambah suspek dipercayai masih berada di negeri ini.
Dalam pada itu, Alzafny berkata setakat ini, sebanyak 14 saksi dirakam percakapan dan telah memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar untuk dianalisis.
Justeru, beliau meminta orang ramai membantu mengesan warga emas berkenaan selain meminta mana-mana pusat perubatan, klinik atau farmasi yang mengesyaki suspek, yang dipercayai cedera, menerima rawatan atau membeli ubat untuk menyalurkan maklumat itu kepada polis.
“Hal ini kerana polis percaya dalam kejadian tersebut, lelaki ini mengalami kecederaan yang serius. Dia kini sedang bersembunyi dan mungkin disembunyikan,” katanya dan menambah lelaki itu bergerak sendirian dan tiada kaitan dengan kumpulan pengganas atau gengsterisme.


