POLIS menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes tetak sehingga menyebabkan dua lelaki cedera parah dalam kejadian di Teluk Air Tawar, Butterworth pada Ahad lalu di mana video insiden itu tular dalam media sosial sejak semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Superintenden C Tharmalingam berkata, suspek lelaki itu ditahan kira-kira jam 4 petang ini di kawasan Penang Sentral, Butterworth.

“Siasatan awal mendapati suspek menyerang seorang lelaki dipercayai menggunakan parang sehingga menyebabkan mangsa putus jari dan dia kemudian menetak seorang lagi mangsa yang cuba membantu rakannya itu, di bahagian belakang badan.
“Polis akan mendapatkan perintah reman terhadap lelaki itu esok bagi membantu siasatan kes tersebut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Menurut Tharmalingam, dengan penahanan lelaki berusia lingkungan 40-an itu, polis percaya dapat menyelesaikan kes tersebut.
Terdahulu tular video berdurasi 1 minit 30 saat memaparkan seorang lelaki mengamuk di hadapan sebuah rumah sebelum mengejar beberapa individu di kawasan berkenaan dan menetak dua lelaki di kawasan itu.


