SEORANG lelaki Pakistan yang diburu sejak 9 April lalu selepas meloloskan diri daripada tahanan reman, akhirnya berjaya ditahan semalam.
Lelaki terbabit yang dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24, berjaya ditahan petang semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek berjaya ditahan di Jalan Batu 14, Jalan Gombak Lama, Selangor kira-kira jam 5 petang semalam.
“Sehubungan itu, Polis Selangor merakamkan penghargaan atas kerjasama semua pihak yang membantu sehingga banduan tersebut berjaya ditangkap bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang 9 April lalu, suspek yang merupakan tahanan reman meloloskan diri ketika proses menghantarnya ke Penjara Sungai Buloh oleh Cawangan Pengawal Pengiring Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor dilaporkan berkata, setiba di padang kawad Penjara Sungai Buloh, suspek meloloskan diri ketika turun dari kenderaan polis.
Pada hari kejadian, tahanan reman itu baru selesai menjalani prosiding perbicaraan di Mahkamah Shah Alam berkaitan kes seksual terhadap kanak-kanak, rompakan dan kesalahan imigresen.


