Tak gelojoh mahu atasi legasi, pilih Kabinet terbaik…10 tahun cukup untuk seorang PM

PENGUMUMAN Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  mengenai pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun dianggap keputusan yang tepat.

Jika undang-undang itu diluluskan, ia bermakna Malaysia merupakan negara kedua dalam ASEAN yang menetapkan tempoh jawatan Perdana Menteri selepas Thailand yang mengehadkan kepada lapan tahun.

Bagaimanapun mengehadkan tempoh bagi pemimpin utama negara bukanlah perkara luas biasa khususnya bagi jawatan Presiden (sistem Presidensial dan semi Presidensial).

 Contohnya ketika ini terdapat 12 negara termasuk Indonesia yang mengehadkan tempoh menduduki jawatan tersebut selama 10 tahun. Malah ada negara peneraju utama negara memegang kurang 10 tahun iaitu Amerika Syarikat selama 8 tahun, Mexico        (6 tahun), Filipina (6 tahun), Brazil  (8 tahun) dan Korea Selatan (5 tahun).

Oleh itu langkah  Malaysia mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri boleh dianggap satu keberanian.  Cadangan tersebut merupakan antara beberapa inisiatif reformasi institusi yang akan dibawa ke sesi Parlimen akan datang. Walaupun pasti ada yang bersetuju atau tidak bersetuju dengan langkah itu namun ia menunjukkan kesungguhan kerajaan bagi mengotakan apa yang dijanjikan.

Ramai pihak berpendapat, pengenalan undang-undang bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri Malaysia kepada maksimum 10 tahun, mampu memperkukuh budaya kepimpinan demokratik dan mengelakkan pentadbiran cenderung ke arah autokratik. Langkah berkenaan juga, berupaya memperbaiki sistem semak dan imbang dalam pentadbiran negara ini.

Mengehadkan tempoh 10 tahun itu bukanlah bermakna mahu menyekat kemampuan seseorang pemimpin untuk terus mentadbir tetapi bagi membolehkan negara melahirkan lebih ramai pemimpin yang berwibawa.

Hujah yang mengatakan tempoh itu terlalu singkat untuk seseorang Perdana Menteri melunaskan agendanya juga adalah tidak tepat. Sebaliknya, had tempoh itu seharusnya dijadikan peniup semangat untuk beliau melakukan yang terbaik bagi memahatkan namanya dalam sejarah pentadbiran negara.

Hakikatnya bukan masalah tempoh yang menjadi sekatan kepada seseorang Perdana Menteri tetapi kegelojohan untuk menunjukkan beliau lebih baik daripada Perdana Menteri sebelumnya. Lebih buruk lagi jika ada sikap mahu memadamkan legasi pemimpin terdahulu.

Keadaan inilah yang memungkinkan seseorang Perdana Menteri itu gagal mempamerkan prestasi  terbaik kerana beliau terlalu kelam kabut untuk menonjolkan kepada rakyat, apa yang telah beliau berjaya lakukan dalam masa yang singkat berbanding pemimpin sebelumnya.

Atas sebab itulah Anwar dilihat tidak tertekan dengan desakan melaksanakan reformasi yang beliau janjikan semasa pilihan raya. Sebaliknya beliau melakukan secara berhemah dan tertib supaya tidak menjadi kelam-kabut.

Ia bertepatan dengan kenyataan beliau bahawa perubahan perlu dilakukan secara waras, bijaksana dan melalui proses rundingan atau musyawarah bersama pimpinan parti dalam Kerajaan MADANI.

Kata Anwar yang juga Presiden PKR, pelaksanaan perubahan bukan sesuatu yang mudah memandangkan wujud perbezaan keutamaan dalam kalangan parti gabungan Kerajaan Perpaduan yang perlu ditangani dengan penuh bijaksana.

“Semua parti ini (dalam kerajaan) masing-masing ada keutamaan mereka, jadi kita harus mengemudi dengan bijak,” kata Anwar.

Selain itu, sama ada seseorang Perdana Menteri boleh berjaya atau tidak, ia bukan kepada beliau seorang tetapi amat-amat bergantung kepada pasukan Kabinet. Ia memandangkan mereka yang akan menggerakkan segala perancangan yang dirangka Perdana Menteri.

Sebaik mana pun perancangan yang dibuat dan sehebat mana pun seorang Perdana Menteri ia tidak akan ke mana, tak kiralah kalau ia menjadi Perdana Menteri selama manapun. Atas sebab itulah apabila seorang Perdana Menteri menyedari beliau hanya ada tempoh 10 tahun sahaja untuk memimpin sudah pastilah beliau memahami  perlu menyediakan Kabinet terbaik.

Pelantikan ke dalam Kabinet harus dibuat dengan berhati-hati.Kerusi Kabinet bukan sekadar memenuhi kuota  pembahagian mengikut sumbangan kerusi oleh parti-parti yang bergabung dalam kerajaan tetapi jauh lebih penting lagi keberkesanan Kabinet itu melaksanakan tugas menguruskan negara.

Apabila had tempoh 10 tahun itu dilaksanakan, maka Perdana Menteri pastinya akan memilih barisan Kabinet yang terbaik untuk bersamanya. Pemilihan dibuat berdasarkan kewibawaan dan keupayaan melaksanakan portfolio yang diberikan.

Individu berkenaan mesti faham fungsi dan kepentingan Kementerian yang beliau akan pimpin, bukan sekadar seronok menjadi menteri sebab kuota parti tetapi akhirnya buat kerja ‘ke laut’. Dan paling malang yang menjadi sasaran ialah Perdana Menteri dan kerajaan keseluruhannya.

Justeru langkah Anwar melaksanakan reformasi yang melibatkan tempoh jawatan Perdana Menteri adalah sangat tepat kerana ia akan membolehkan rakyat mendapat banyak kebaikan daripada kerajaan kerana mereka yang dilantik ke jawatan tersebut pasti mahu  dikenang sebagai salah seorang Perdana Menteri terbaik.

Apapun jika Rang Undang-Undang itu diluluskan ia akan mencatatkan sejarah bahawa di bawah kepimpinan Anwar sebagai  Perdana Menteri ke-10, Malaysia mengehadkan tempat jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img