MAJLIS Perundingan Melayu (MPM) melahirkan rasa kesal dan dukacita yang mendalam berhubung penyebaran sebuah video di laman Facebook yang memaparkan satu persembahan teater atau sketsa tempatan yang menyentuh prinsip Rukun Negara.
Pementasan teater berkenaan didapati dicampuradukkan dengan perkataan dan ungkapan bersifat provokatif, di samping memaparkan adegan yang dilihat tidak selari dengan nilai serta budaya masyarakat Malaysia.
MPM dalam kenyataan menegaskan, pihaknya sentiasa menjunjung prinsip hak asasi manusia serta kebebasan bersuara yang dijamin dalam kerangka undang-undang negara.
“Walau bagaimanapun, MPM mengingatkan bahawa kebebasan tersebut hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, menghormati sensitiviti masyarakat, serta tidak menjejaskan keharmonian dan nilai bersama yang menjadi asas kehidupan bernegara.
“MPM berpandangan sebarang bentuk persembahan yang menggunakan Rukun Negara sebagai bahan sehingga menimbulkan provokasi dan keresahan dalam kalangan masyarakat perlu dipandang secara serius,” kata kenyataan itu.
Tindakan itu lebih-lebih lagi dilihat menyentuh nilai Kesopanan dan Kesusilaan, iaitu salah satu daripada lima prinsip Rukun Negara yang menjadi asas penting dalam membentuk masyarakat yang saling menghormati.
Sehubungan itu, MPM mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus, dan rapi terhadap perkara berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang.
MPM turut memandang serius persoalan mengenai kesesuaian penyiaran persembahan sedemikian, khususnya ketika negara baru sahaja menyambut Hari Malaysia yang sepatutnya menjadi wadah memperkukuh perpaduan, keharmonian, dan rasa hormat sesama rakyat.
Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) turut menggesa pihak penganjur dan mereka yang terlibat dalam pementasan teater tular tersebut supaya segera memberikan penjelasan dan memohon maaf secara terbuka.
Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pementasan teater itu tidak seharusnya dianggap sebagai satu keberanian berkarya, sebaliknya ia jelas mencerminkan kecuaian moral yang merendahkan asas kehidupan bersama dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Rukun Negara bukanlah slogan kosong atau bahan lawak pentas, sebaliknya merupakan ikrar kewarganegaraan yang dibentuk daripada pengalaman getir negara bagi memelihara kesatuan, keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, dan kesopanan masyarakat majmuk,” tegas beliau dalam kenyataan berasingan.
Ahmad Fahmi turut menambah, walaupun ABIM sentiasa menghormati kebebasan seni, terdapat perbezaan nyata antara mengkritik kegagalan menghayati Rukun Negara dengan menjadikan Rukun Negara itu sendiri sebagai bahan penghinaan.





