SEORANG lelaki tempatan kerugian RM39,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket tawaran pekerjaan dalam talian yang tidak wujud, baru-baru ini.
Mangsa yang berusia 54 tahun sebelum itu memohon jawatan sebagai pengurus namun terjerat dengan helah suspek yang menyamar dan mengumpannya menerusi panggilan telefon pada 15 September lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, modus operandi sindiket adalah dengan mengarahkan mangsa menyerahkan wang pendahuluan terlebih dahulu.
Menurut beliau, bagi meyakinkan mangsa, suspek berjanji bahawa kesemua wang berkenaan akan dipulangkan semula secara penuh ketika sesi temu duga berlangsung kelak.
“Akibat terpengaruh dengan tawaran manis itu, mangsa menuruti arahan dengan memasukkan wang ke dalam akaun bank yang ditetapkan oleh suspek.
“Secara keseluruhannya, mangsa telah membuat tiga kali transaksi pemindahan wang pada 16 September lalu yang membawa kepada jumlah kerugian RM39,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, helah sindiket itu bagaimanapun terbongkar apabila suspek tanpa henti terus meminta mangsa menambah bayaran lain, sekali gus menimbulkan keraguan dan syak wasangka mangsa.
Sedar dirinya diperdaya, katanya, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu, kata beliau.
Naazron turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati serta tidak mudah terperangkap dengan iklan atau tawaran kerjaya menerusi platform dalam talian.





