SEORANG pembonceng motosikal maut manakala rakannya cedera selepas terbabit dalam insiden tembakan dan dilanggar sebuah kenderaan di Jalan Keretapi Lama, Tok Muda, Kapar dekat Klang, hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejadian kira-kira jam 9.51 pagi itu melibatkan dua lelaki tempatan yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y15.
“Pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian manakala penunggangnya mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila kedua-dua mangsa dipercayai melepaskan tembakan ke arah seorang pekerja milik suspek di Kampung Perepat.
“Suspek kemudian mengejar motosikal berkenaan sehingga ke Jalan Keretapi Lama.
“Apabila salah seorang mangsa mengacukan objek menyerupai pistol, suspek bertindak melanggar motosikal tersebut sehingga kedua-duanya terjatuh dan terseret di simpang masuk Taman Sri Kapar,” katanya.
Beliau berkata, semakan rekod mendapati pembonceng yang meninggal dunia mempunyai 23 rekod lampau melibatkan pelbagai jenayah berat termasuk kes bunuh, cubaan membunuh dan samun berkumpulan.
Katanya, penunggang motosikal yang cedera pula mempunyai 10 rekod jenayah selain berstatus orang dikehendaki di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.
“Sementara itu, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 49 tahun yang dipercayai suspek telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Semakan turut mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan kes jenayah di bawah Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


