SEORANG penunggang motosikal ditemukan meninggal dunia di tepi jalan kira-kira dua jam selepas dipercayai terbabas di Jalan Air Tanai, Air Paabas, Alor Gajah, awal pagi tadi.
Mangsa, Abd Rahim Yusuf, 38, yang bekerja kampung dipercayai terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 5 pagi sebelum keadaannya disedari orang awam sekitar jam 7 pagi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari arah Kampung Air Tanai menuju ke Jalan Air Paabas.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan menyebabkan motosikal ditunggangnya terbabas ke bahu kiri jalan.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah terutama di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, mangsa yang masih bujang dan beralamat di Kampung Air Tanai dipercayai keluar dari rumah untuk bertemu rakan sebelum kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Loh Gia Xao di talian 019-538 2353 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.






