‘Tg Karang ke Putrajaya – Meniti Gelora Politik’….Siapa Noh Omar?

SELAKU wartawan saya kenal Noh Omar (Tan Sri) sebagai orang politik dari Selangor, yang menjawat pelbagai portfolio dalam Kabinet sebagai Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri dan Menteri. Saya tidak mengenali rapat beliau selain dari yang diberitakan media. Malahan saya tidak pernah meliputi acara beliau.

Yang saya tahu beliau dari Tanjong Karang dan orang kuat UMNO Selangor yang popular di kalangan penduduknya melihat pada kemenangan beliau di kerusi Parlimen Tanjong Karang saban penggal pilihan raya umum, enam penggal sebenarnya, sejak 1995 hingga 2021.

Persepsi saya, beliau adalah salah seorang ‘war lord’ dalam politik UMNO sama seperti ramainya ‘war lords’ di negeri-negeri lain. Pada umumnya saya tidak melihat apa kelebihan beliau selain hanya sebagai salah seorang pemimpin yang dikenali di bahagian dan berkedudukan sebagai Ketua Perhubungan UMNO Selangor.

Tetapi setelah membaca buku ‘Tg. Karang ke Putrajaya: Meniti Gelora Politik’ tulisan mantan Ketua Setiausaha Sulit beliau, Saiful Bahar Arshad (Datuk), persepsi atau pandangan saya terhadap Noh Omar terus berubah.

Rupanya banyak sekali jasa beliau pada parti politiknya dan negara yang tidak diketahui saya, walaupun sebagai wartawan. Daripada buku yang baru diterbitkan ini, baru saya tahu banyak usaha yang dilakukan Noh Omar untuk kebaikan negara.

Satu bab (Bab 7) yang saya hendak sentuh ialah rupanya Noh Omarlah yang memainkan peranan utama yang membawa kepada anggota wanita di dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula memakai tudung atau hijab.

Sebelum itu, hijab tidak dibenarkan dalam PDRM sehinggalah Noh Omar sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri semasa itu, mencetuskan idea tersebut yang kemudian mendapat sokongan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Polis Negara.

Pada pandangan saya, idea Noh Omar pasti menggembirakan Pak Lah kerana ia selari dengan latarbelakang beliau sebagai orang agama dan tambahan pula dari keuarga tokoh agama di Pulau Pinang. Bagaimana idea hijab itu tercetus terdapat kisahnya dalam buku itu.

Satu lagi bab yang luar biasa ialah bertajuk ‘Mencari Seorang Lagi Mokhtar Dahari’ di mana Noh Omar sewaktu menjawat Timbalan Menteri Pelajaran telah mencetuskan idea untuk melahirkan ramai pemain bolasepak yang berkaliber seperti pemain bolasepak kebangsaan Mokhtar Dahari.

Noh Omar menggarap idea ini bersama pelbagai pihak termasuk FAM sendiri sehinggalah terdapat satu peluang pertandingan bolasepak untuk pemain bolasepak di bawah 12 tahun.

Segera Noh Omar mengarahkan Kementerian Pelajaran Malaysia membentuk pasukan bolasepak bawah 12 tahun secara rasmi yang mendapat dokongan Kerajaan.

Tidak itu saja, sebelum pertandingan sebenar di Perancis, Noh Omar mengarahkan pasukan ini berlatih dan mengadakan perlawanan persahabatan di Slovakia untuk membiasakan kanak-kanak yang tidak pernah ke Eropah ini dengan cuaca di sana.

Semasa pertandingan di Perancis pasukan ini menunjukkan prestasi yang tidak disangka-sangka dalam pusingan pertama dengan mengalahkan Ireland 3-1, Cameroon 2-1 dan seri dengan Sepanyol. Tapi di suku akhir Malaysia ditewaskan Perancis 2-0.

Bagaimanapun, usaha Noh Omar untuk mengembangkan sukan bolasepak ke peringkat umur yang lebih tinggi terbantut apabila Pak Lah membubar Parlimen.

Bab-bab lain ialah mengenai kerjaya politiknya dan tidak disangka rupanya penglibatan Noh Omar dalam politik bermula daripada beliau berusia belasan tahun lagi dan telah menunjukkan ketokohan kepimpinan  walaupun masih muda belia.

Beliau belajar di London bersama penulis buku ini, Saiful Bahar, dan kedua-dua tokoh ini aktif dalam kelab-kelab UMNO dan persatuan pelajar di United Kingdom dan Eire. Kedua-dua juga pernah menjadi pemimpin pelajar semasa di sana.

Semasa Noh Omar sebagai Setiausaha Parlimen, Pak Lah mengarahkan beliau menubuhkan alumni kelab-kelab UMNO luar negara bagi tujuan menjaga hubungan baik Kerajaan dengan bekas penuntut. Alumni kemudian dilancarkan oleh Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad.

Noh Omar juga yang mencetuskan idea kepada Dr. Mahathir bahawa pelajar-pelajar tajaan Kerajaan atau agensi Kerajaan harus mengikuti kursus ketatanegaraan bagi menyemai semangat patriotik supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan anasir asing semasa menuntut di luar negara.

Beliau menubuhkan satu jawatankuasa khas pelajar-pelajar Malaysia luar negara bagi memastikan bakal pelajar mengikuti kursus atau latihan di bawah Biro Tata Negara sebelum ke  luar negara.

Selain itu atas platform yang sama Noh Omar sering berjumpa pelajar-pelajar di luar negara di United Kingdom dan Russia untuk menerangkan tentang kebaikan dasar-dasar Kerajaan selain mendampingi mereka supaya menyokong pimpinan semasa itu.

Buku setebal 170 muka surat ini, turut mengkisahkan naik turun nasib Noh Omar sepanjang karier politiknya termasuk pemecatannya dari UMNO oleh Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa Noh Omar telah sabotaj parti sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15.

Noh Omar turut menceritakan beliau tidak bersetuju dengan pendirian Ahmad Zahid yang melanggar prinsip ‘No DAP, No Anwar’ yang telah diputuskan oleh Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Diselitkan anekdot peristiwa yang menggemparkan negara seperti kisah kontroversi video wanita Cina bogel, pengharaman akhbar Sarawak Tribune, serbuan di pusat karoake dan tuduhan penderaan terhadap tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Tahanan Kamunting.

Semua isu disebutkan itu dihadapi Noh Omar selaku Timbalan Menteri KDN dengan jujur dan berani hingga meredakan suasana atau suhu hangat dalam pemerintahan Kerajaan Pak Lah.

Penulis Saiful bijak kerana turut menyenaraikan sumbangan dan jasa yang telah dicurahkan Noh Omar sepanjang 21 tahun berkhidmat di Putrajaya supaya pembaca seperti saya tahu siapa sebenarnya Noh Omar.

Buku pertama Saiful ini sebagai mini memoir Noh Omar memang menarik dibaca, dengan gaya penulisan dan penceritaannya yang hidup, mudah difahami dan bersahaja. Sesiapa yang mula membacanya pasti tertarik untuk menghabiskannya.

Bagaimanapun, saya percaya buku ini hanyalah satu perempat atau suku daripada kisah hidup Noh Omar sebenarnya. Saya percaya banyak lagi pengalaman dan kisah peribadi dan rasminya yang tidak diceritakan beliau.

Saya berharap satu memoir Noh Omar yang penuh dan lebih lengkap dapat dihasilkan nanti untuk tatapan umum.

Persepsi saya yang awalnya hambar pada Noh Omar sebenarnya berpunca dari kurangnya publisiti atau laporan komprehensif media terhadap kejayaan usaha-usaha beliau di pelbagai kementerian selama ini.

Jelas Noh Omar bukan gila publisiti seperti orang lain tetapi seorang yang suka membuat kerja di belakang tabir demi bangsa, negara dan agama.

Saya tabik kepada Noh Omar kerana telah banyak menyumbang jasa kepada bangsa, negara dan agama sepanjang karier politiknya yang hingga kini masih belum berakhir.

Kepada Saiful, tahniah kerana telah berjaya menjadi penulis, dan terima kasih memperkenalkan siapakah gerangan sebenarnya Noh Omar kepada saya.

Nota:

Sesiapa berminat untuk mendapatkan buku ‘Tg Karang Ke Putrajaya – Meniti Gelora Politik’, boleh hubungi penulis YBhg Datuk Saiful Bahar Arshad di nombor telefon bimbit: 019 322 2121



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img