Tiada tanda-tanda Bersatu akan sertai PH – Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini menolak spekulasi parti Bersatu mungkin mahu menyertai gabungan Pakatan Harapan (PH), dua hari selepas parti itu ditamatkan hubungan politik oleh Pas.

Menurut Anwar yang juga Pengerusi PH, setakat ini tiada sebarang petunjuk ke arah itu.

“Setakat ini tiada tanda-tanda ke arah itu (Bersatu menyertai PH). Kerjasama politik tidak seharusnya didorong oleh perpecahan mengejut atau perubahan pakatan.

“Kita bincang dan berunding dengan baik, kita bekerjasama dengan baik,” katanya kepada pemberita pada akhir lawatan rasminya ke Jepun di Tokyo hari ini.

Spekulasi mengenai hubungan Bersatu dengan PH bertambah hangat selepas Pas pada Isnin lalu mengumumkan parti itu menamatkan kerjasama politiknya dengan Bersatu.

Pengumuman itu dibuat hampir tiga minggu selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menuduh Bersatu menjejaskan hubungan antara kedua-dua parti.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, beliau tidak mahu PH terlibat dalam sebarang langkah yang boleh dilihat sebagai mengkhianati rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurut Perdana Menteri lagi, Kerajaan Perpaduan kekal kukuh di peringkat Persekutuan walaupun terdapat beberapa perbezaan pandangan di peringkat negeri.

Pada 28 Mei lalu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dilaporkan berkata, tidak pernah ada sebarang perbincangan dalam Bersatu, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi, mengenai kemungkinan parti itu menyertai semula PH.

Menurut Tun Faisal, tidak masuk akal untuk Bersatu kembali bersama PH selepas parti itu memainkan peranan penting dalam tumbangnya kerajaan pimpinan PH pada Februari 2020.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img