Tiga menteri angkat sumpah Senator bagi penggal kedua, apa nasib Khairy?

BEBERAPA  hari kebelakangan ini, banyak media membuat spekulasi siapakah yang akan dibawa masuk ke Kabinet bagi mengisi empat portfolio yang kosong?

Antara yang disebut-sebut termasuklah bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Bagaimanapun memandangkan beliau bukan Ahli Parlimen maka untuk menyertai Kabinet Khairy perlu mengangkat sumpah sebagai Senator.

Hari ini kedudukan Khairy menjadi tanda tanya, adakah benar beliau akan dilantik menyertai Kabinet atau terus menjadi Deejay Radio Hot FM dan mengendalikan podcast popular Keluar Sekejap?

Tanda tanya itu wujud apabila hari ini tiga menteri selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua  bagi menyambung perkhidmatan mereka dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Mereka ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Upacara mengangkat sumpah sempena pelantikan semula itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.

Pelantikan itu bermakna, ketiga-tiga mereka akan kekal dalam Kabinet, sama ada di portfolio yang sama atau tidak, ia bukanlah persoalan.

Yang pentingnya dengan majlis angkat sumpah itu, ia bermakna hanya ada empat kekosongan sahaja dalam Kabinet iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Insustri yang ditinggalkan oleh Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Ekonomi yang sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Rafizi Ramli, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang dikosongkan oleh  Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang perlu diisi selepas penyandangnya Ewon Benedick meletakkan jawatan.

Khairy disebut-sebut sesuai menggantikan tempat Nik Nazmi manakala Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dianggap paling layak menggantikan Tengku Zafrul di MITI.

Tetapi setakat ini nama Khairy belum lagi diuar-uarkan akan mengangkat sumpah sebagai Senator. Oleh itu adakah mungkin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya akan memilih dalam kalangan ahli Parlimen sedia ada bagi mengisi kekosongan sedia?

Atau adakah Anwar tidak mahu melantik Khairy biarpun beliau layak menjadi menteri disebabkan bekas Ahli Parlimen Rembau itu ‘tidak sebulu’ dengan kepimpinan UMNO?

Bagaimanapun memandangkan tempoh Kabinet sedia ada hanya tinggal setahun setengah sahaja lagi, mungkin Anwar tidak akan melakukan banyak perubahan. Langkah itu memang baik, tetapi lebih baik lagi kalau menteri yang dianggap tidak begitu berpotensi digantikan dengan mereka lebih berwibawa.

Pelantikan menteri adalah  “prerogatif’ Anwar sebagai Perdana Menteri dan apapun keputusan beliau harus dihormati, cuma jangan sia-siakan ahli-ahli politik seperti Khairy….siapa tahu kalau UMNO tidak menerima beliau kembali, Khairy boleh menjadi pemimpin masa depan PKR…bukankah politik segala berkemungkinan? Lagipun PKR dan UMNO kini sudah ‘sekapal’.

Apapun tak perlu penulis ‘melalut jauh’..yang penting sekarang siapakah akan mengisi empat kekosongan menteri Kabinet dan adakah Khairy akan terpilih sama-sama kita tunggu?.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img