Tiga pengarah syarikat mengaku tidak bersalah 160 pertuduhan beli diesel tanpa lesen

MAHKAMAH Sesyen Kuantan hari ini merekodkan pengakuan tidak bersalah sebuah syarikat pemborong hasil laut dan tiga pengarahnya atas 160 pertuduhan berkaitan pembelian diesel subsidi nelayan tanpa lesen borong di Kuala Rompin pada 2024.

Atong Fishing Sdn Bhd yang diwakili tiga pengarahnya iaitu Cheng Chor Tong, 73, serta dua anak lelakinya, Cheng Thee Yong, 49, dan Cheng Thee How, 46, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Mengikut pertuduhan, syarikat berkenaan dan ketiga-tiga pengarahnya masing-masing berdepan 40 pertuduhan secara berasingan kerana berurusan membeli barang kawalan iaitu minyak diesel bernilai antara RM17,620.35 hingga RM72,540.60 tanpa memiliki lesen borong yang sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Persatuan Nelayan Kawasan Rompin, Kuala Rompin antara 15 Januari hingga 17 Oktober 2024.

Mereka didakwa mengikut Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan maksimum RM5 juta bagi kesalahan kedua.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd Sophian Zakaria dan Munirah Shamsudin bersama Pegawai Pendakwa, Nor Amri Mohamad Nawi.

Ketiga-tiga Orang Kena Saman (OKS) diwakili peguam Anasuha Atiqah Mat Saidi.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon jaminan tinggi dikenakan terhadap semua OKS atas alasan penyelewengan diesel bersubsidi nelayan merupakan isu berkepentingan awam dan diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Bagaimanapun, peguam bela memohon agar mahkamah mengguna pakai jaminan sedia ada yang telah ditetapkan dalam kes terdahulu memandangkan kedua-dua kes mempunyai kaitan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM45,000 bagi setiap OKS berserta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat KPDN Pahang setiap bulan seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Mahkamah turut menetapkan 20 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 13 Mei lalu, syarikat yang sama bersama tiga pengarah terbabit turut didakwa atas 164 pertuduhan membeli diesel subsidi nelayan tanpa lesen dan menyimpan lebih dua juta liter bahan api itu bernilai RM3.3 juta melebihi kuantiti yang dibenarkan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img