POLIS Selangor menumpaskan tiga sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi menggunakan modus operandi ‘call center’ menerusi beberapa serbuan di Bandar 16 Sierra, Puchong, Selasa lalu.
Dalam operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor itu, seramai 29 warga asing termasuk seorang wanita ditahan kerana dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan dan pengumpulan data kewangan mangsa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 11 malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Sepang di sebuah rumah di Bandar 16 Sierra.
“Hasil serbuan, polis menahan 11 warga asing terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 hingga 63 tahun yang dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan.
“Polis turut merampas lapan komputer riba, lapan telefon bimbit dan sebuah penghala WiFi dengan nilai rampasan dianggarkan RM36,000,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket itu beroperasi sejak Mac lalu dengan wanita terbabit berperanan sebagai tukang masak manakala suspek lain bertindak sebagai operator menawarkan skim pelaburan dalam talian kepada warga Peru menerusi aplikasi Telegram dan platform laman web.
Beliau berkata, serbuan kedua dilakukan kira-kira jam 11.45 malam di lokasi sama dengan penahanan tujuh lelaki warga asing berusia 27 hingga 36 tahun.
“Hasil pemeriksaan, polis merampas sebuah monitor, CPU, komputer riba, dua telefon bimbit dan penghala WiFi bernilai RM16,000.
“Sindiket ini dipercayai menawarkan skim pelaburan kepada warga China menerusi aplikasi ‘Douyin’ dan ‘Dongfangcaifu’,” katanya.
Shazeli berkata, serbuan ketiga pula dilakukan kira-kira jam 1.30 pagi semalam membabitkan penahanan 11 lagi warga asing terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita berusia 31 hingga 36 tahun.
“Polis merampas tiga monitor, tiga CPU, tiga telefon bimbit dan sebuah penghala WiFi dengan nilai keseluruhan RM17,000.
“Siasatan mendapati kumpulan ini berperanan sebagai ‘pengurus akaun’ yang mengumpul data kewangan hasil aktiviti penipuan terhadap warga China sebelum dimasukkan ke dalam sistem ditetapkan ketua sindiket,” katanya.
Beliau berkata, semua kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
“Kesemua tangkapan direman selama empat hari bermula 20 Mei hingga 23 Mei ini bagi membantu siasatan,” katanya.


