Tragedi Mohd Noor

SELEPAS  pulang dari Labuan pada Khamis, 18 Disember lalu, saya terkena demam. Doktor menasihatkan saya  berehat beberapa hari.

Dua hari kemudian iaitu pada hari Sabtu, lebih kurang pukul 9 pagi, saya mendapat mesej bahawa salah seorang peserta pembasmian miskin tegar yang saya laksanakan di Labuan (sebagai Rakan Strategik), Mat Noor@Mohammad Noor Bin Kasim, meninggal dunia akibat terjatuh daripada pokok kelapa.

Saya terkejut dan sedih kerana Mat Noor turut menjadi pemandu serta pekerja am secara sambilan dengan saya. Maka sudah pastilah kami agak rapat, begitu juga keluarganya. Kami pernah mengadakan kenduri arwah bekas pemandu saya di Semenanjung, Allahyarham Raei b. Lop pada tahun lalu di rumah Mat Noor di Labuan.

Apabila saya menghubungi isteri Mat Noor untuk bertanya bagaimana kemalangan itu boleh berlaku dan ternyata ia benar-benar menyentuh perasaan saya.

 Menurut isterinya, pada pagi kejadian, Allahyarham membawa dua  anaknya yang berusia sembilan tahun dan lapan tahun untuk membantu mengumpul buah kelapa dari pokok yang dipanjat Allahyarham.

Mat Noor memang bekerja menjual air kelapa balang dan memberikan secara percuma kepada masjid-masjid pada hari Jumaat hasil sedekah orang ramai.

Kejadian kemalangan itu meruntun perasaan saya apabila mengenangkan bagaimana keadaan dua anak Allahyarham yang melihat sendiri bagaimana bapa mereka meninggal dunia ketika mencari rezeki untuk menyara keluarga. Saya dapat membayangkan kesedihan dan trauma mereka .

Ketika sesi latihan kemahiran, keusahawanan dan motivasi  kepada peserta, cerita kemiskinan keluarga ini menjadi topik berkesan kepada semua peserta miskin tegar termasuk Mat Noor kerana tragedi kemiskinan dalam modul tersebut juga adalah kisah pengalaman kemiskinan keluarga saya ketika saya kecil.

Musibah yang menimpa ketua keluarga dan kematian adik-beradik akibat miskin merupakan satu ketakutan buat diri saya. Rupa-rupanya kejadian itu berlaku kepada Mat Noor dan menimpa nasib anak-anaknya.

Malah ketika menjadi pemandu sambilan saya, kami banyak bersembang pelbagai kenangan dan pengalaman masing-masing untuk dijadikan teladan.

Kisah Mat Noor bukan sahaja sebuah tragedi kemalangan tetapi isu kemiskinan yang perlu ditangani dan ‘dimatikan’ supaya ia tidak diwarisi oleh generasi baru khususnya anak cucu.

Mat Noor (berkaca mata paling kiri) ketika mengikuti kursus makanan sejuk beku dalam program Upaya@PUJI Labuan pada tahun lalu.

Saya bersyukur kerana mempunyai pengalaman menjayakan pelbagai program membasmi kemiskinan. Program seumpama ini memerlukan satu rangka kerja strategik yang berterusan supaya kemiskinan itu dapat dihapuskan sepenuhnya. Ini memerlukan pengalaman, kepakaran, kesabaran dan istiqomah yang tinggi.

Sasarannya bukan sahaja ketua isi rumah (KIR) tetapi seluruh anggota isi rumah untuk diperbetulkan dan disedarkan tentang bahaya kemiskinan dan kesannya kepada kehidupan sosial.

Maka ia memerlukan pelan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang. Gerak kerjanya tidak boleh sekadar hangat-hangat tahi ayam dan diuruskan oleh mereka yang langsung tiada pengalaman dalam ‘menguruskan golongan miskin’.

Kisah Tragedi Mat Noor ini hanyalah secebis kisah tragedi kemiskinan yang perlu menginsafi kita tentang nasib keluarga yang mungkin akan mewarisi pula keadaan tersebut.

Situasi dunia dan percaturan politik Malaysia yang rencam amat berisiko untuk kita melahirkan ramai golongan miskin. Pemimpin sebenarnya sudah tiada masa untuk memberi tumpuan khusus kepada soal ini kerana masing-masing sedang berebut  kuasa. Penjawat awam pula ternanti-nanti fokus menteri yang silih bertukar ganti.

Manakala kita yang sangat berpengalaman ini sudah tidak boleh bersuara lebih kerana silap gaya kita akan ‘dipancung’ sebab terlalu pandai untuk tidak digemari.

Namun, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita tidak boleh membiarkan tragedi Mat Noor ini terus berlaku di Malaysia kerana kita akan dipersoal di dunia dan akhirat akibat sikap tidak bertanggungjawab, tidak prihatin dan sombong kita.

Alfatihah buat Mat Noor.

*Penulis adalah usahawan dan penganalisis sosioekonomi

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img