JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan berlaku kejadian gempa bumi lemah dengan magnitud 3.4 di sekitar Bukit Kepong, Pagoh, pagi ini.
Bagaimanapun tiada ancaman tsunami dalam kejadian yang dikesan berlaku pada jam 8.55 pagi tadi.
Menurut MetMalaysia, gempa berkenaan dikesan kira-kira 16 kilometer barat daya Pagoh dengan kedalaman 10 kilometer.
Kata jabatan itu, gegaran tersebut turut dirasai di beberapa kawasan di Johor dan Melaka.
“Gegaran berkenaan adalah kecil dan tidak dijangka menyebabkan kerosakan struktur atau risiko keselamatan kepada penduduk setempat,” kata MetMalaysia dalam kenyataan.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam kenyataannya memberitahu, keadaan adalah terkawal dan setakat ini tiada laporan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda selain tiada sebarang ancaman tsunami kepada negeri Johor.
Menurut beliau, kerajaan negeri Johor sentiasa mengambil serius soal keselamatan rakyat dan pemantauan rapi sedang dijalankan bersama agensi berkaitan. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa agar rakyat sentiasa mendapat maklumat yang sahih dan tepat.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, saya menasihatkan orang ramai agar kekal bertenang, menjauhi struktur yang tidak kukuh, serta sentiasa peka dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diperlukan.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar negeri Johor sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT, dijauhkan daripada sebarang musibah dan bencana,” katanya.


