Tragedi Ramadan: Jiran dakwa dengar dua jeritan ketika sahur

JIRAN kepada lima sekeluarga yang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, di Ulu Dong, Raub awal pagi tadi mendakwa ada terdengar jeritan dari kediaman itu ketika sedang bersiap untuk bersahur.

Ruslah Ismail, 64, yang tinggal berhampiran rumah mangsa berkata, jeritan itu didengari kira-kira jam 3 pagi ketika dia mahu memasak nasi untuk sahur.

“Saya terdengar jeritan dua kali. Ketika tengok rumah sebelah api sudah marak.

“Saya segera mengejutkan anak dan ambil barangan penting kerana bimbang api merebak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, lapor BH.

Ruslah yang juga peniaga kedai runcit mengaku terkejut dan panik kerana api begitu marak sebelum ketibaan bomba pada jam 4.15 pagi.

“Pasangan suami isteri itu berniaga makanan dan menetap di rumah terbabit hampir 10 tahun. Mereka memang baik dengan kami,” katanya yang mengakui kejadian menimpa keluarga itu mengejutkan penduduk setempat.

Pemilik rumah, Nor Rizan Kamaluddin, 59, berkata, rumah didiami keluarga itu dibina selepas kediaman asal bersebelahan lokasi kejadian terbakar pada 2014.

Dia mengakui kejadian itu turut memberi kesan kepadanya kerana sudah lama mengenali keluarga terbabit, malah mereka banyak membantu arwah ibunya yang tinggal bersebelahan.

“Lama mereka menyewa di rumah itu. Memang sangat terkejut dan sedih kerana anak mangsa membesar depan mata kami.

“Mereka memang baik dan banyak membantu malah ketika ibu masih ada, mangsa yang akan menghubungi keluarga kami jika arwah ibu memerlukan apa-apa,” katanya.

Pesara itu berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh jiran dan api masih marak semasa dia tiba di lokasi yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya pada 3.45 pagi.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 4.15 pagi dan berjaya mengawal api pada jam 4.48 pagi.

Beliau berkata kebakaran memusnahkan 100 peratus struktur rumah, selain turut melibatkan masing-masing tiga kereta dan motosikal.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img