Tragedi Ramadan: Polis kenal pasti identiti 5 sekeluarga yang rentung

POLIS telah mengenal pasti identiti lima sekeluarga yang maut dalam kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong di Raub awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, mangsa adalah pasangan suami isteri dan tiga anak perempuan mereka yang berusia antara 10 hingga 17 tahun.

RUMAH keluarga Allahyarham Mohd Alawi Mohammad yang terbakar di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong di Raub awal pagi tadi.

Beliau berkata, pasangan itu dikenal pasti sebagai peniaga, Mohd Alawi Mohammad, 57, dan Zaleha Adam @ Ibrahim, 45, manakala anak mereka ialah Ruby Adira Batrisya, 17; Ruby Adlina Banin, 14; dan Ruby Azyan Barizah, 10.

“Dua lagi anak pasangan itu tiada di rumah ketika kejadian. Anak perempuan mereka, Ruby Adalia Balqis, 19, sedang menuntut di sebuah kolej matrikulasi di Gambang, manakala anak lelaki, Ahmad Balia Murqam, 15, tinggal di asrama SMK Dong.

DUA anak mangsa yang terselamat kerana tiada di rumah ketika kejadian iaitu Ruby Adalia Balqis dan Ahmad Balia Murqam

“Mayat kesemua lima beranak itu dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahril berkata, polis menerima maklumat mengenai kebakaran itu pada jam 3.40 pagi sebelum sepasukan anggota polis dan bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.

Katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran.

Media sebelum ini melaporkan kebakaran itu turut memusnahkan tiga kereta dan tiga motosikal.

Tragedi menyayat hati itu berlaku ketika seminggu umat Islam menyambut bulan Ramadan.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img