Trump arah Israel hentikan pengeboman selepas Hamas terima beberapa perkara dalam pelan damai

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada hari Jumaat mengarahkan Israel untuk menghentikan pengeboman di Semenanjung Gaza selepas Hamas menyatakan bahawa mereka telah menerima beberapa perkara dalam  pelan damai untuk menamatkan perang hampir dua tahun di Gaza.

Pemimpin Hamas, Osama Hamdan memberitahu saluran berita Al-Araby, mereka bersedia untuk memasuki rundingan secara langsung dengan segera bagi mengatur pertukaran tahanan.

‘’Isu ini (pertukaran tahanan) memerlukan penyertaan dalam rundingan langsung untuk penyelarasan… Kami percaya bahawa apabila memasuki perincian, akan diperlukan lebih banyak masa daripada 72 jam yang diberikan,’’katanya.

Osama menegaskan, mereka tidak menerima urusan Gaza yang merupakan wilayah dalam Palestin diuruskan oleh mana-mana pihak bukan Palestin.

‘’Kemasukan pasukan asing atau pentadbiran asing ke Semenanjung Gaza adalah perkara yang tidak boleh diterima oleh rakyat Palestin. Kami mengulangi persetujuan kami bahawa pentadbiran Semenanjung Gaza diserahkan kepada badan teknokrat Palestin.

‘’Isu-isu masa depan berkaitan dengan negara Palestin mesti diputuskan dalam kerangka kebangsaan yang luas… Hamas tidak memonopoli hak untuk membuat keputusan secara bersendirian. Kami tidak menerima mana-mana pihak selain rakyat Palestin sendiri yang menguruskan urusan Gaza,’’ tegasnya.

Beliau berkata, mereka tidak menerima pentadbiran asing di Semenanjung Gaza, dan sebuah badan kebangsaan bebas mesti dibentuk untuk tugas itu.

Osama berkata, sebarang cubaan untuk mengecualikan Hamas daripada proses politik tidak akan berhasil

‘’Kami mengharapkan respons positif daripada Trump, seperti mana  respons positif yang diberikan oleh Hamas. Jika terdapat kesungguhan dan sikap positif daripada pihak-pihak terlibat terhadap pendirian Hamas, satu gencatan senjata boleh diumumkan esok  malah malam ini juga.

Trump melalui akaun media sosialnya Truth Social berkata, beliau percaya Hamas sudah bersedia untuk mencapai perdamaian yang berkekalan.

 “Israel mesti segera menghentikan pengeboman Gaza supaya kita dapat membawa keluar tebusan dengan selamat dan cepat! Sekarang terlalu berbahaya untuk berbuat demikian. Perbincangan terperinci sedang berlangsung,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img