TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) memandang serius setiap isu melibatkan disiplin dan integriti warganya dan menegaskan tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap sebarang salah laku atau pelanggaran disiplin, termasuk perkara yang tular baru-baru ini.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, kepimpinan tertinggi TUDM berasa kesal dengan isu berkenaan yang mencemarkan imej dan maruah pasukan itu.
“Saya selaku Panglima Tentera Udara bersama kepimpinan tertinggi TUDM berasa kesal (berkenaan isu tular) dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku atau pelanggaran disiplin.
“Siasatan menyeluruh sedang dilaksanakan dan tindakan tegas akan diambil selaras dengan peraturan perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Norazlan berkata, sebarang aktiviti tidak bermoral yang dilakukan di dalam pangkalan adalah dilarang sama sekali kerana ia mencemarkan imej dan maruah TUDM.
Beliau turut menegaskan bahawa sekiranya didapati bersalah, individu terlibat boleh dikenakan tindakan paling tegas termasuk dibuang daripada perkhidmatan
“Tindakan paling tegas akan diambil kepada mereka yang menyalahi peraturan termasuklah diberhentikan daripada perkhidmatan dengan keji jika bersalah,” katanya.
Sebelum ini, tular di beberapa platform media sosial beberapa gambar dan rakaman video mendakwa berlaku budaya tidak wajar dan perlakuan yang tidak selaras dengan etika perkhidmatan di dalam kem tentera.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut diarahkan menjalankan siasatan dalaman segera susulan dakwaan budaya tidak wajar dalam kem tentera yang tular di media sosial.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan memaklumkan, siasatan itu bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan secara menyeluruh.


