
DALAM beberapa minggu ini terdapat peristiwa menarik melibatkan tiga parti Melayu, Pas, UMNO dan Bersatu
Suasana dalam Bersatu terus berceramuk.Tidak mustahil sehari dua lagi, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin akan dipecat.
Kedua-dua mereka sudah terima surat tunjuk sebab. Sebenarnya surat itu bagaikan ‘mukadimah’, mereka berada di ambang pemecatan sama ada mereka jawab atau tidak. Sebelum ini enam ahli Parlimen parti itu telah dipecat.
Mereka ialah Ahli Parlimen Larut yang juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik) serta Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota).
Tidak cukup dengan pemecatan, Bersatu ‘yang tidak bersatu’ itu semakin parah apabila satu demi satu bahagian parti itu di seluruh negara menyaksikan Ahli Jawatankuasa (AJK) meletak jawatan. Memang benar bahagian-bahagian yang terlibat tidak terbubar, tetapi apa guna ada pada nama sahaja ia ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’?
Bagaimanapun pemimpin-pemimpin Bersatu terus berhadapan sindrom penafian seperti mana mereka menafikan Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin kehilangan sokongan apabila menyatakan peletakan jawatan berkenaan tidak menjejaskan parti tersebut.
Tetapi tidak mengapalah Bersatu boleh teruskan adegan pecat-mecat itu dan berada kepompong penafian maklumlah Muhyiddin pun sudah kata Bersatu ada ramai pemimpin sedangkan untuk mencari orang setanding Hamzah, Ronald, Saifuddin dan Mas Ermieyati pun belum tentu dapat.
Lagipun perhatian majoriti orang Melayu semakin menuju ke arah Pas. Ia memandangkan Pas tidak ada masalah integriti, Pas tidak ada ahli Parlimen melompat parti, parti tidak pecat ahli Parlimennya, dalam Pas tidak berlaku AJK kawasan meletak jawatan.
Paling penting Pas kini menerajui Perikatan Nasional (PN) yang menyaksikan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjadi pengerusi gabungan itu. Kedudukan itu sedikit sebanyak akan memberi kelebihan kepada parti tersebut khususnya untuk menambah sokongan orang Melayu.
Ketika Pas terus stabil, Bersatu semakin berantakan, UMNO pula melalui Presidennya, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi melakukan tindakan mendamaikan. Timbalan Perdana Menteri itu dengan jiwa besar dan rendah diri menjemput kesemua bekas ahli itu yang dipecat atau digantung kembali ke pangkuan UMNO tanpa sebarang syarat.
Pendirian Ahmad Zahid melalui semangat ‘Rumah Besar’ itu menggembirakan pemimpin dan ahli UMNO. Ia kerana tindakan tersebut sudah pasti akan memperkukuhkan parti. Pada masa sama tidak seperti Bersatu yang ‘membuang mutiara’, langkah Ahmad Zahid itu akan membolehkan mereka mendapatkan kembali ‘mutiara yang dibuang’.
Sudah pastilah tumpuan diberikan kepada bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang merupakan antara bekas ahli UMNO paling awal menerima jemputan Ahmad Zahid.
Dalam reaksi terhadap pengumuman itu,bekas Ahli Parlimen Rembau tersebut berkata beliau sudah lama sebut ingin kembali kepada UMNO.
“Saya lihat ini sebagai satu perkembangan yang positif dan satu peluang yang murni bagi saya secara peribadi. Jadi saya bolehlah mula draft surat itu (mohon menyertai Umno),” kata Khairy dalam sedutan audio siar Keluar Sekejap.
Jemputan terbuka oleh Ahmad Zahid itu membuktikan jiwa besar beliau meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya. Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memahami kelangsungan perjuangan UMNO lebih penting.
Justeru bagi mencapai hasrat itu khususnya untuk membolehkan UMNO bangkit semula dalam PRU16, kekuatan parti tersebut perlu diperkukuhkan. Ahmad Zahid tidak mahu dilihat berdendam kepada sesiapa atau mahu dituduh menghalang sesiapa menyertai semula parti.
Dalam keadaan hubungan Pas dengan Bersatu ‘agak dingin’ dan UMNO tiada masalah dengan Pas manakala Hamzah tiada halangan soal kesepakatan politik Melayu, adakah politik ‘sireh pulang ke gagang’ akan berlaku? Parti mana ibarat ‘sireh’, gabungan mana ibarat ‘ gagang’ ? Semua orang boleh meneka.
Apa yang pasti kesepakatan parti-parti Melayu harus diwujudkan, kalau ada yang masih berdendam biarlah ‘’dia terjun dengan labu-labu’’


