ANALISIS
PENULIS tidak pasti bila kali terakhir Khairy Jamaluddin menjejak kaki ke Auditorium UMNO di Menara Dato’Onn, Ibupejabat UMNO, Kuala Lumpur.
Apa yang pastinya beliau akan berada di situ pada 7 November ini bagi menyertai program Rundingan Meja Bulat Nasional (RIMBUN 1.0) bertemakan Reformasi Sistem Pendidikan Pada Zaman AI dan Pemerkasaan Institusi Guru, anjuran Pemuda UMNO.
Kebetulan KJ menerima jemputan ketika dunia politik dikejutkan dengan perkhabaran beliau akan kembali kepada UMNO selepas dipecat oleh parti itu pada Januari 2023 kerana mengkritik Presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.
Siapa tahu kalau-kalau pada tanggal 7 November itu, KJ akan melangkah masuk ke Auditorium UMNO sebagai ahli parti tersebut?
Setakat ini belum ada perkhabaran beliau sudah mengisi borang untuk menjadi ahli UMNO kembali tetapi ramai gembira dan teruja jika ia benar-benar menjadi kenyataan walaupun ada yang kata ‘peristiwa di Perlis’ biasa-biasa sahaja – merujuk kehadiran Zahid dan KJ di majlis perkahwinan yang sama.
Sehingga artikel ini ditulis KJ belum memberi apa-apa komen berhubung kepulangannya ke dalam UMNO
Dalam media sosial, sudah ada bunyi-bunyi daripada pihak-pihak yang tidak begitu gembira dengan perkhabaran tersebut. Ada pemimpin UMNO yang berkata, kalau nak kembali kepada UMNO, tunjuklah kesungguhan dan ada pula yang bertanya, ”betul ke KJ nak masuk balik sebab dulu kata tak akan sertai UMNO selagi dipimpin Presiden yang sama?”.
Bagi penulis, kalaupun nak tengok kesungguhan KJ, biarlah beliau sudah diterima menadi ahli secara rasmi, nanti awal-awal lagi ghairan tak tentu hala, takut orang cakap ‘gila talak’ pulak dan kalau betul KJ cakap pasal soal Presiden tu, penulis anggap kenyataan itu sudah tidak relevan lagi.
Jika betullah KJ sertai UMNO semula, ia tepat pada waktunya . UMNO memerlukan barisan pelapis muda seperti beliau dan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh. UMNO tidak boleh lagi bergantung kepada pemimpin-pemimpin lama yang masing-masing sudah meningkat umurnya.
Selain itu paling penting sebahagian mereka tidak mempunyai aura seperti KJ yang mampu menarik orang ramai khususnya anak muda dan generasi baru.

Bagaimanapun kepulangan KJ yang mungkin bersama Shahril Hamdan, sudah tentulah akan membolehkan UMNO bakal memiliki barisan pelapis yang baik selepas Mohamad Hasan dan Johari Ghani serta jangan lupa Hishammuddin Hussein.
Hishammuddin yang merupakan Ahli Parlimen Sembroing tetap setia dengan UMNO dan melaksanakan tugasnya dengan cukup baik ketika menjadi anggota Kabinet dahulu.
Bayangkan kombinasi UMNO selepas penyertaan kembali KJ dan tidak mustahil selepas ini Hishammuddin pula akan ‘dilepaskan’ daripada penggantungan. Ini bukan soal jawatan, kuasa atau kedudukan tetapi soal memperkukuhkan kembali UMNO bagi menghadapi PRU-16.
UMNO memerlukan barisan pemimpin yang mampu membangkitkan kembali kekuatan parti tersebut dalam pilihan raya justeru Tok Mat Hasan, Johari Ghani, Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, Shahril Hamdan di samping Dr.Akmal adalah harapan UMNO membawa misi tersebut.
Bagaimanapun bagi memastikan agenda itu tercapai, diharapkan tidak akan ada pemimpin-pemimpin khususnya ahli MT yang akan menjadi ‘batu api’, ‘batu penghalang’ dan ‘bonggol’ dalam usaha menarik semula pemimpin-pemimpin seperti Khairy, Shahril dan Hishammuddin ke dalam arus kepimpinan parti tersebut.
Lagipun sesetengah ahli MT hanya bercakap banyak, komen sana sini bukan hebat sangatpun. Mereka ada dalam UMNO sekadar ada sahaja terutamanya sesetengah yang dah masuk usia veteran. Tidak perlulah nak menyimpan cita-cita untuk bertanding lagi dalam pilihan raya.
Berilah generasi baru meneruskan perjuangan melalui bimbingan pemimpin yang penulis nyatakan itu. Apa yang penting UMNO harus dikembalikan sebagai parti dominan dalam pentadbiran negara.
Tidak ada masalah untuk terus bersama PH dalam PRU-16 tetapi pastikan ia menguntungkan UMNO, jangan hanya sekadar berada dalam hieraki ‘keempat, kelima’ dalam kerajaan atau dilihat sama taraf dengan Amanah sahaja. UMNO mesti setanding kedudukannya dengan PKR dan DAP – Itu ‘darjat’ UMNO..bukan ibarat ‘nak angkat kepala pun tak berapa ‘nak ok’.
Pada masa sama, walaupun penulis faham kedudukan KJ bergantung kepada MT, namun Ahmad Zahid boleh memainkan peranan beliau untuk memastikan rayuan KJ diterima.
Sebagai pemimpin berjiwa besar yang sebelum ini bersedia berhadapan apa juga cabaran dan risiko demi UMNO, maka inilah peluang untuk Ahmad Zahid menjadi penyatu ummah menerima kembali semua pemimpin yang dipecat atau digantung.
Jangan pinggirkan pemimpin seperti KJ, Shahril Hamdan dan Hishammuddin. Sesungguhnya UMNO perlukan mereka untuk memantapkan gandingan bersama Tok Mat Hasan,Johari Ghani,Dr.Akmal.
Jika keputusan dibuat demi kepentingan parti Insha-Allah PRU-16 UMNO akan bangkit semula tetapi kalau keputusan dibuat berdasarkan perhitungan politik peribadi, maka UMNO tidak akan bangkit lagi.
UNDILAH |
[socialpoll id=”2974793″]



