UMNO wujudkan Rumah Bangsa satukan Melayu melalui jiwa besar bukan retorik amarah – Zahid

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima kemasukan semula mana-mana pihak ke dalam parti tersebut.

Katanya, langkah itu bertujuan membuka ruang seluas-luasnya kepada penyatuan hubungan dalam kalangan warga parti demi memastikan UMNO kekal relevan dan terus menjadi wadah perjuangan bangsa, agama dan tanah air.

“Pintu Rumah Bangsa ini sentiasa terbuka luas. Di sini kita dilahirkan, di sini kita dibesarkan. Di sini jugalah kita mengadun erti perjuangan.

“Justeru, bagi menyambut kembali kepulangan saudara-saudara kita adik-beradik kita, ahli keluarga kita, sebuah Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa akan ditubuhkan bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak baik secara individu atau secara en bloc ke Rumah Bangsa ini,” katanya.

Beliau demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 205, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Zahid berkata, tanggungjawab UMNO hari ini jauh lebih besar kerana UMNO adalah Rumah Bangsa, tempat untuk menyatukan kembali orang-orang Melayu dan bukan dengan retorik amarah, bukan dengan dendam sejarah, tetapi dengan haluan yang jelas dan jiwa yang besar.

“Gagasan Payung Besar orang Melayu pernah cuba dibina tanpa UMNO. Tetapi sejarah telah membuktikan, ia tidak mendapat sambutan. Payung itu rebah kerana tidak berpaut kepada rumah asalnya. Kenapa perlu kepada payung, andai rumah sudah tersrgam indah.

“Sejarah Rumah Bangsa ini tidak akan pernah terpadam. Dari rumah inilah lahirnya pelbagai parti dan gerakan politik Melayu – Pas, Semangat 46, PKR, Bersatu, Pejuang, Warisan, GRS – bahkan GPS telah turut berkongsi satu roh kenegaraan. Ada yang lahir dari konflik dan kekecewaan, ada yang muncul akibat perbezaan hala tuju dan wadah yang tidak selaras,” katanya.

Beliau menegaskan, UMNO adalah rumah asal politik Melayu.

“Dari rumah inilah lahirnya kemerdekaan, terbinanya Perlembagaan, Islam dimartabatkan sebagai tiang negara dan Raja-Raja Melayu didaulatkan. Rumah ini bukan sekadar dinding dan bumbung – ia menjadi paksi kepada sebuah negara bangsa, rimbunan yang memayungi segenap latar agama, bangsa dan budaya.

“Namun, rumah ini mesti dijaga. Takkan kita hanya berpeluk tubuh, andai atapnya mula bocor, lantainya mula reput. Rumah ini perlu dibersihkan dari debu keangkuhan, agar kembali menjadi teduhan selesa buat seluruh anak bangsa tanpa mengira pangkat dan darjat. UMNO bukan parti elit, tetapi lahir dari keringat rakyat.

“UMNO adalah rumah buat semua bertaut kembali – saat ada yang hilang arah, saat ada yang semakin rebah.. kembalilah.. kembalilah.. Bak kata pepatah, sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Dalam ucapan itu juga Ahmad Zahid turut menyifatkan pemulihan jmesti bermula dengan membetulkan naratif parti di mata rakyat yang merupakan proses menyeluruh untuk mengembalikan keyakinan bagi memperbaiki persepsi.

Beliau berkata, ia menjadi medan untuk memulihkan kredibiliti dan menampilkan UMNO sebagai wadah perjuangan Melayu yang relevan, segar dan berwibawa.

Sehubungan  itu beliau berkata, penganjuran Musyawarah Nasional bagi membicarakan agenda politik umat Melayu akan diadakan dan bakal melibatkan semua pertubuhan, pakar-pakar, ahli akademik dan profesional Melayu.

Dalam perkembangan sama beliau turut berpandangan, untuk melakukan penjenamaan semula dalam kerangka kerjasama politik, parti seharusnya menyedari keadaan sudah berubah.

“Ini menuntut kita untuk menilai semula bentuk-bentuk kerjasama politik yang sesuai dengan situasi politik semasa. Ia termasuklah untuk kita mengkaji semula bentuk gabungan politik Barisan Nasional (BN).

“BN telah berusia lebih 50 tahun dan perlu diberikan nafas baharu agar dilihat sesuai dengan tuntutan zaman. Rakan-rakan politik yang setia selama ini perlu dirangkul bagi menambah kekuatan dan sokongan.

“Untuk itu, UMNO mencadangkan satu proses rebranding atau penjenamaan semula yang menyeluruh perlu dibuat bagi menghadapi PRU ke 16,” ujar beliau

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img