Untuk jadi ‘pokok kelapa’ bukan ‘daun kari’…UMNO janganlah tangguh pemilihan

FOKUS SABTU

 KALI terakhir pemilihan UMNO diadakan ialah pada 18 Mac 2023, bagaimanapun jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Kali terakhir kedua-dua jawatan itu dipertandingkan ialah pada 2018 yang menyaksikan Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang ketika itu Timbalan Presiden dicabar oleh Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan Presiden.

Bagi jawatan Timbalan Presiden pula Datuk Seri Mohamad  Hasan menewaskan Tan Sri Annuar Musa.

Masihkah kita ingat ketika itu, ramai bercakap  adakah Ahmad Zahid benar-benar mendapat sokongan padu ahli UMNO apabila beliau mendapat 78 undi bahagian, Khairy Jamaluddin (53) manakala Tengku Razaleigh Hamzah (28).

Selepas itu pemilihan ditangguhkan berikutan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) yang menyaksikan Barisan Nasional (BN)  buat pertama kalinya diketuai oleh Ahmad Zahid sebagai Pengerusi BN.

Hasilnya, BN mencatatkan keputusan paling buruk dalam sejarah perjuangannya apabila menang hanya 30 kerusi berbanding 79 kerusi pada PRU-14 . Dan jangan lupa selepas PRU-14 Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan.

Ahmad Zahid gagal untuk memimpin UMNO dan BN bangkit semula, tetapi beliau berjaya membawa BN untuk menyertai Kerajaan Perpaduan atas dasar patuh titah Yang di-Pertuan Agong.

Tetapi soalnya ramai bertanya  adakah semua itu bermaksud kepimpinan Ahmad Zahid diterima oleh ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi? Atas sebab itulah walaupun Perlembagaan UMNO membenarkan, parti itu sepatutnya tidak menangguhkan lagi pemilihan parti itu atas alasan sehingga PRU-16 selesai.

Malah Majlis Tertinggi (MT) UMNO harus membenarkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan. Sebelum ini pemilihan ditangguhkan atas alasan PRU-15, mahu membuat persiapan dan tidak mahu ahli berpecah belah, tetapi lihat apa hasilnya?

Sepatutnya apabila BN memperolehi keputusan yang buruk, pemilihan bagi peringkat Presiden dan Timbalan Presiden harus turut diadakan. Ia bagi membolehkan UMNO memastikan adakah kepimpinan tertinggi masih lagi diterima oleh ahli-ahli UMNO atau mereka mempunyai pendapat lain?

Janganlah mengukur  kepimpinan tertinggi terus disokong oleh ahli-ahli UMNO dengan gempak gempita kenyataan sokongan oleh ketua-ketua bahagian atau Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Parlimen kerana yang penting akar umbi.

Penulis tidak menafikan sebelum ini pernah berlaku jawatan Presiden tidak ditandingi. Contohnya, Tun Dr.Mahathir Mohamad menang tanpa bertanding pada pemilihan 1990, 1993, 1996 dan 2000 selepas kali terakhir dicabar oleh Tengku Razaleigh pada 1987.

Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi  menang tanpa bertanding pada 2004 dan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009 dan 2013.

Tetapi kaji juga bagaimana kedudukan UMNO dan BN ketika PRU dan apabila keputusan buruk biarpun BN  masih boleh memerintah Presiden meletakkan jawatan seperti mana dilakukan oleh Allahyarham Abdullah pada 2009 dan seterusnya Najib pula meletakkan jawatan selepas BN hilang kuasa dalam PRU 2018.

Oleh itu apabila BN tidak mampu bangkit semula dalam PRU-15, sepatutnya tahap sokongan terhadap Presiden UMNO diuji pada pemilihan parti.

Jawatan timbalan presiden juga pernah dimenangi tanpa bertanding oleh Tun Ghafar Baba pada 1990, Datuk Seri Anwar Ibrahim (1996), Abdullah (2000), Najib (2004) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (2013).

Tetapi orang tidak kisah sangat soal Timbalan Presiden sebab yang pentingnya Presiden sebagai Panglima perang dalam pilihan raya. Ia penentu hidup mati UMNO dan BN dalam pilihan raya.

Kalau parti-parti lain boleh membuat pemilihan termasuk bagi jawatan tertinggi  biarpun akan berhadapan dengan pilihan raya, kenapa UMNO tidak boleh? Sampai ke bila mahu memberi alasan mahu memberi tumpuan kepada pilihan raya? atau bimbang perpecahan?

Kenapa pula selepas itu, hanya jawatan lain sahaja dipertandingkan, dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan.Kalau nak pecah, tidak kira apapun jawatan ia tetap berpecah. Lagipun pemilihan UMNO penting terutamanya bagai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Rakyat hendak lihat dan membuat ukuran apakah barisan kepimpinan yang dipilih mempunyai material sebagai pelapisan kepimpinan negara. Tetapi kalau jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan macam mana hendak ukur.

Sampai  ke bilakah kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan. Kalau berterusan maknanya tahap sokongan dalam kalangan ahli UMNO terhadap Ahmad Zahid tidak pernah diuji selepas prestasi buruk PRU-15 dan keputusan bekerjasama dengan DAP.

Penulis yakin Ahmad Zahid tidak takut untuk bertanding. Beliau seorang yang tabah dan kuat seperti mana beliau berhadapan dengan kes mahkamah sehingga NFA (tiada tindakan lanjut)  apatah lagi Tok Mat Hasan yang dilihat cemerlang di Kementerian Luar, begitu juga di peringkat Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi  sudah ada barisan pelapis menanti masing-masing ada keupayaan memimpin UMNO.

Jika dua jawatan tertinggi tidak berubah maka yang di bawahpun tidak boleh bergerak, Tak kanlah yang menjadi Timbalan Presiden, Naib Presiden atau Ahli MKT tidak berhasrat ‘naik pangkat’ tambahan pula usia semakin meningkat.

Oleh itu buatlah pemilihan demi memastikan barisan kepimpinan yang akan memasuki gelanggang Pilihan Raya Umum Ke-16 benar-benar mantap, mendapat sokongan padu ahli dan seterusnya boleh membentuk kembali keyakinan rakyat khususnya orang Melayu kepada UMNO.

 Siapa tahu melalui pemilihan yang diadakan  ia memberi nafas baharu  untuk UMNO bangkit dan seterusnya menjadi kerajaan tanpa perlu mengharapkan UMNO sekadar pelengkap dan tidaklah akan  menerima nasib seperti ‘daun kari untuk masak gulai’…selesai gulai dimasak, daun kari dikais ke tepi semasa makan’.

Bagaimanapun jika pemilihan bagi kesemua jawatan dan ahli UMNO mengekalkan kepimpinan tertinggi yang ada, semua pihak harus  terima dengan hati terbuka dan bersedia menghadapi PRU-16, biarpun…

‘’Setiap ahli tidak semestinya menjadi pengundi, dan pengundi tidak semestinya kekal bersama parti.’’ maka rakyat penilai paling tepat.

Apa yang penting dalam PRU-16, UMNO tak boleh dilayan bagaikan daun kari sebaliknya jadilah pokok kelapa – semuanya boleh guna – daripada batang, pelepah,ubut,buah, tempurung semua berguna waima sudah jadi hampas sekalipun.,.barulah DAP tak berani cuit.

Jadi buatlah pemilihan jangan tangguh-tangguh lagi..orang tua kata benda baik jangan tangguh-tangguh nanti jadi tak baik.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img