‘’Untung tinggi,upah rendah’’ – PM tak puas hati syarikat besar masih kekal gaji rendah

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim masih belum berpuas hati terhadap sesetengah syarikat besar swasta yang masih mengekalkan kadar gaji rendah walaupun mencatat keuntungan tinggi.

Katanya,  langkah lebih tegas perlu diambil kerajaan untuk meningkatkan tahap gaji itu yang akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2027, Oktober ini.

Anwar berkata,  kerajaan juga akan mencari jalan untuk berunding dengan syarikat terlibat  supaya kadar gaji pekerja dinaikkan selaras dengan tahap produktiviti di Malaysia.

“Saya masih belum berpuas hati kerana syarikat-syarikat besar, ladang-ladang, industri, kilang, yang untungnya sangat tinggi, tetapi kadar upahnya rendah.

“Saya pernah buat kajian dulu tentang kenaikan produktiviti dan kenaikan upah. Korea umpamanya, Korea Selatan, produktiviti tinggi, upah pun ikut tinggi. Walaupun tak sama, tetapi ia meningkat mengikut kadar upah. Di Malaysia, produktiviti terus meningkat, tetapi kadar upah itu meningkat sangat rendah,’’katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Mesra Alumni UiTM Bersama Perdana Menteri di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam.

Mengulas usaha kerajaan memperkasakan agenda Bumiputera, Anwar berkata kerajaan turut memberi jaminan bahawa perkara itu antara fokus yang bakal diumumkan dalam pembentangan belanjawan itu.

“Tetapi saya yakin agenda Bumiputera boleh dikembangkan dengan jaminan keadilan sosial dan tidak melanggar jaminan keselamatan dan keselesaan rakyat yang bukan Melayu.

“Saya yakin dengan peruntukan yang ada, malah dalam belanjawan ini, agenda Bumiputera keseluruhannya, kita mampu tingkatkan,” katanya.

Mengenai peruntukan kepada sekolah, Perdana Menteri mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak membandingkan jumlah peruntukan yang diberikan antara sekolah kebangsaan dengan sekolah jenis kebangsaan kerana keadaan setiap kawasan adalah berbeza.

“Kalau kita bercakap soal peruntukan, bagaimana kita hendak membandingkan sekolah seperti Chung Hwa yang mempunyai kemudahan paling baik dengan sekolah di Manek Urai, Kapit?

“Sudah tentu sekolah di Manek Urai perlu diberikan lebih perhatian kerana kawasannya terpencil dan ramai keluarga yang berpendapatan rendah. Takkan kita mengharapkan PIBG mengutip RM5,000 setahun? RM5,000 setahun pun sudah sukar bagi mereka.

“Sebab itu saya katakan, keadilan bukan bermaksud persamaan. Keadilan bukan memberikan layanan yang sama, tetapi memberikan perhatian dan sokongan berdasarkan keperluan masing-masing,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here