Usaha KPDN perkukuh larangan kenderaan asing beli petrol RON95 beri manfaat kepada rakyat Malaysia – MPPN

MAJLIS Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyokong  langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk merangka peraturan baharu bagi menguatkuasakan larangan khusus  pembelian petrol RON95 oleh kenderaan pendaftaran asing di stesen-stesen minyak.

Pengerusinya Mohd Khair Ngadiron berkata, MPPN berpandangan usaha itu adalah satu langkah penting bagi memastikan subsidi petrol RON95 yang diperuntukkan kerajaan benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia selaras dengan prinsip keadilan sosial dan perlindungan pengguna.

Beliau berkata, sepertimana dimaklumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali kerangka perundangan sedia ada melalui Peraturan 12A pada ketika ini hanya melibatkan larangan terhadap penjualan yang membolehkan tindakan diambil terhadap stesen minyak semata-mata.

 Mohd Khair Ngadiron

‘’Sehubungan itu, cadangan pengenalan undang-undang baharu di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961, yang meliputi larangan bukan sahaja terhadap penjualan tetapi juga pembelian merupakan langkah yang wajar bagi memperkukuh penguatkuasaan serta menangani ketirisan subsidi,’’ katanya dalam kenyataan.

Mohd Khair menegaskan  penyaluran subsidi tanpa kawalan yang berkesan boleh membuka ruang kepada ketirisan sumber awam, penyalahgunaan oleh pihak tidak layak dan  beban fiskal yang akhirnya menjejaskan kepentingan pengguna domestik.

‘’Langkah ini juga dilihat sebagai usaha strategik untuk memastikan pasaran bekalan petrol kekal adil, telus dan mampan,’’  katanya.

 Beliau berkata, sebagai badan penasihat utama kepada kerajaan dalam hal ehwal pengguna, MPPN akan terus menyokong dasar dan inisiatif yang  melindungi hak pengguna tempatan, memperkukuh tadbir urus subsidi dan meningkatkan keberkesanan mekanisme penguatkuasaan.

‘’MPPN turut menggalakkan semua pihak termasuk pengusaha stesen minyak dan pengguna untuk memberikan kerjasama penuh bagi memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img