
DATUK Seri Mohamad Hasan sememangnya dianggap pemimpin masa depan UMNO. Biarpun nada suara lembut ketika berucap ketegasan tetap ada, apabila menegur kesopanan tetap terjaga.
Itulah yang boleh penulis simpulkan apabila mendengar ucapan Timbalan Presiden UMNO itu ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri di Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam tadi.
Ucapan beliau boleh dianggap satu muhasabah kepada UMNO. Tiada ‘serangan ganas’ ke atas parti pembangkang atau parti lain. Ahli Parlimen Rembau itu menumpukan sepenuhnya apa yang sedang melingkari parti Melayu itu sekarang.

Tok Mat Hasan tidak membuang masa dengan beretorik, bernostalgia apatah lagi untuk menyerang pembangkang yang dianggotai dua parti Melayu. Sebaliknya beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau itu menjawab tuduhan, memberi amaran dan merancang perjuangan masa depan kepada pemimpin dan ahli UMNO.
- MENJAWAB TUDUHAN – Tok Mat Hasan menjawab tuduhan yang mengatakan ‘UMNO melukut di tepi gantang’ dalam Kerajaan Perpaduan yang turut disertai oleh DAP -‘musuh ketat’ parti itu.
Tok Mat Hasan menegaskan, UMNO bukan melukut di tepi gantang sebaliknya penyemak imbang (check and balance) yang paling efektif dari dalam kerajaan.
‘’Walaupun kerusi kita tidak banyak, suara kita di Kabinet adalah suara penentu. Kita pastikan tiada dasar yang melampau, tiada dasar yang merugikan orang Melayu, dibiarkan begitu saja,’’ tegasnya.
Beliau membentangkan tiga bukti nyata sebagai contoh bagaimana UMNO bertindak sebagai “Perisai” Melayu dalam Kerajaan Perpaduan iaitu menangguhkan pembentangan Akta Pembaharuan Semula Bandar atau Urban Renewal Act (URA), menghalang pilihan raya kerajaan tempatan dan memperkasakan agenda Bumiputera.
*MEMBERI AMARAN – mengingatkan kelompok tertentu jangan sesekali cabar Garis Merah (Red Line) iaitu Hak Keistimewaan Melayu dan Bumiputera, Kesucian Agama Islam, dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Tok Mat Hasan dalam nada tegas, memperingatkan rakan-rakan di dalam Kerajaan Perpaduan dengan berkata;
‘’ Jangan sangka kerana kita berada dalam satu Kabinet, UMNO sudah tumpul taringnya. Jangan sangka kerana kita mahu kestabilan politik, kita akan pejam mata bila asas negara diganggu gugat. UMNO tidak akan diam membisu.
‘’Kita akan bangun, kita akan bersuara, dan kita akan menentang habis-habisan sesiapa jua, kawan atau lawan, yang cuba merobek tiga teras utama ini. Ini adalah amaran keras. Kita bersedia bekerjasama demi rakyat dan demi negara, tetapi jika tangan-tangan gatal mula menyentuh agama, bangsa, dan raja kami, tangan itu akan kami tepis dengan segala kekuatan yang ada.
‘’Ingat ini! Politik boleh berubah, gabungan boleh bertukar, tetapi prinsip ini kekal mati bersama UMNO. Amaran keras ini bukan sekadar retorik kosong di atas pentas. Dan prinsip “Garis Merah” ini bukan sekadar laungan semangat untuk menyedapkan hati kamu semua,’’ katanya.
*Merancang masa depan UMNO – Beliau dengan tegas berkata, dalam tempoh 24 bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) diadakan UMNO memerlukan perlukan ‘roadmap’ yang jelas.
Timbalan Presiden UMNO itu mengingatkan, 50% pengundi adalah orang muda (18-35 tahun).
‘’Mereka tidak membesar melihat zaman kegemilangan BN. Mereka tidak merasa zaman pembangunan Felda tahun 80-an. Mereka adalah ‘Generasi Tanpa Nostalgia’. Dan mereka tidak mengundi atas dasar parti. Apa yang mereka nampak di TikTok, sejak akil baligh, hanyalah fitnah dan tohmahan,’’ katanya.
Oleh itu beliau mengarahkan ahli-ahli UMNO berhenti jual,sejarah. mulakan jual masa depan.
KESIMPULANNYA: Ucapan Tok Mat Hasan ini menjawab segala persoalan yang bermain di fikiran ramai orang Melayu. Sama ada mereka menerima ia sebagai hujah atau alasan terpulang kepada penilaian masing-masing.
Sekurang-kurangnya bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memberi panduan kepada pemimpin UMNO jangan asyik menuding jari kepada orang lain terhadap yang berlaku kepada parti tersebut sebaliknya mengkaji dan bermuhasabah kenapa ia berlaku.
Selama ini dalam ucapan pemimpin kanan UMNO, lebih banyak menyerang pembangkang , menyelar pihak-pihak tertentu, disulami perasaan ‘syok sendiri’ kononnya lebih baik daripada parti-parti Melayu lain dan paling memualkan memuji DAP.
Apa yang dilakukan oleh Tok Mat Hasan itulah yang sebenarnya dimahukan oleh ahli UMNO dan sebahagian orang Melayu. Mereka mahu tahu hasil UMNO berada dalam kerajaan, mereka mahu tahu apa bukti UMNO tidak kompromi dalam soal Melayu dan Islam serta apa pula perancangan untuk bangkit semula dalam menghadapi PRU-16.
Seharusnya selepas ini, pemimpin-pemimpin mencontohi pemikiran strategik Tok Mat Hasan dalam menyedarkan pemimpin dan ahli UMNO, cukup-cukuplah asyik menyerang orang lain dan merasakan parti itu tidak ada masalah.
Apa yang beliau lakukan adalah untuk ‘menyekat laluan UMNO ke perkuburan politik’! Ia memandangkan UMNO seperti mana kata Tok Mat Hasan hanya ada 24 bulan untuk bermuhasabah, mengkaji dan mengatur strategi.
Semoga ucapan pertama Tok Mat ini akan menjadi panduan kepada pemimpin-pemimpin lain supaya tidak terus menjadikan Perhimpunan Agung UMNO sekadar medan retorik, tuding jari, syok sendiri. Sebaliknya jadikan ia medan atur strategi hadapi PRU-16 tidak lama lagi supaya UMNO tidak ‘menggali kubur sendiri’.


