
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Noor memberi bayangan bahawa mereka tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, pada 24 Januari ini.
Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata, pendirian awal GRS adalah untuk memberi laluan kepada parti yang menang di kerusi berkenaan merujuk kepada UMNO-Barisan Nasional (BN), yang kini sebahagian Kerajaan Sabah diterajuinya.
“Saya ingat kita akan bincang dalam GRS, tetapi saya ingin nyatakan kemungkinan besar kita tidak akan bertanding. Kita akan bagi penghormatan kepada parti yang menang. Kebetulan mereka dalam kerajaan negeri sekarang,” katanya.
Kedua-dua itu kerusi kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Bung Moktar Radin meninggal dunia pada 5 Disember lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Alllahyarham memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi selepas mendapat 16,842 undi untuk menewaskan Calon Warisan, Mazliwati Abdul Malek yang mendapat 12,512.
Bagi DUN Lamag pula, dalam PRN baru-baru ini Allahyarham menang dengan majoriti tipis 153 undi selepad mendapat 3,908 undi menewaskan lima calon lain termasuk calon GRS yang mendapat 1,646 undi dan Calon Bebas (3,755 undi).
Perolehan undi oleh Allahyarham sudah tidak lagi relevan untuk diambil kira dalam PRK akan datang memandangkan senario selepas PRN Sabah dikatakan telah berubah apabila BN membuat keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan Sabah dan Hajiji yang mengetuai GRS menerima BN dengan tangan terbuka.
Pendirian BN dan GRS tersebut dikatakan mengecewakan penyokong masing-masing yang berasa dikhianati kerana sebelum PRN, masing-masing ‘bermusuhan’, malah BN sendiri menyatakan secara terbuka tidak akan bekerjasama dengan GRS sebelum dan selepas PRN berkenaan.
Tetapi apabila PRN berakhir walaupun GRS mempunyai cukup kerusi untuk menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah namun GRS telah menerima BN yang mengalami kekalahan agak terus apabila hanya memenangi enam daripda 42 kerusi yang ditandinginya.
Justeru jika BN merasakan PRK di Kinabatangan dan Lamag itu laluan mudah untuk mereka berikutan sokongan yang akan diberikan oleh GRS seperti mana kata Hajiji, ia adalah satu kesilapan.
Sementara BN dan GRS mungkin menganggap rakyat akan lupa apa yang berlaku pada PRN lalu namun pada masa sama mereka juga perlu ingat, Warisan dan calon Bebas juga mempunyai kekuatan di kedua-dua kerusi tersebut.
Selain akan memperolehi undi daripada penyokong masing-masing, jangan lupa penyokong BN-GRS pun belum tentu akan mengundi BN dan lebih parah jika mereka membuat keputusan untuk tidak keluar mengundi sebagai protes terhadap sandiwara politik BN-GRS!


