Warga emas cedera diserang ketika makan di kedai

SEORANG warga emas cedera selepas diserang sekumpulan individu bersenjata tajam dalam kejadian di sebuah kedai makan di Kapar, Klang awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.25 petang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi ketika lelaki berusia 69 tahun itu makan bersama dua rakannya sebelum didatangi empat lelaki.

“Perselisihan faham dipercayai berlaku apabila mangsa mengabaikan kata-kata kumpulan suspek berkenaan, sebelum salah seorang daripada mereka bertindak mengeluarkan pisau dan melibasnya ke arah rakan mangsa.

“Serangan itu menyebabkan mangsa cedera di bahagian muka dan dada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Vijaya Rao berkata, kumpulan berkenaan turut mengugut untuk menembak mangsa sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.

Katanya, mangsa kini dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Mengulas lanjut, Vijaya Rao berkata, salah seorang suspek berjaya ditahan pada hari kejadian dan semakan lanjut mendapati lelaki berusia 29 tahun itu mempunyai lapan rekod jenayah lampau serta tiga rekod berkaitan dadah.

“Suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan dan polis turut giat mengesan dua lagi lelaki berusia dalam lingkungan 31 hingga 35 tahun bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Dayang Siti Aishah Awang Ramli di talian 010-582 5382.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img