SEORANG lelaki warga emas cedera selepas tong gas petroleum cecair (LPG) meletup di sebuah rumah di Sibujaya di Sibu petang ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.31 petang, letupan itu dipercayai berpunca daripada kebocoran tong gas berkenaan.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibujaya digerakkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan.
“Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 3.34 petang dan mendapati letupan berkenaan menyebabkan siling rumah runtuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Warga emas yang cedera itu kemudian dikejarkan ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Difahamkan, terdapat lima penghuni berada di dalam rumah terbabit ketika kejadian, terdiri daripada seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa, dua warga emas serta seorang remaja lelaki.
“Keadaan berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.40 petang dan operasi ditamatkan pada jam 4.02 petang selepas mendapati situasi selamat,” katanya.



