WARGA Pakistan yang ditangkap semula semalam di Jalan Gombak Lama Selangor, selepas meloloskan diri daripada kawalan polis pada 9 April lalu mengaku bersembunyi di dalam hutan di sekitar kawasan tapak pembinaan pada waktu siang, manakala menyelinap masuk ke dalam tapak pembinaan pada waktu malam.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam kenyataan hari ini berkata, lelaki itu bertindak demikian berikutan risiko keselamatan dan ancaman binatang buas, selain itu mengelak dikesan oleh pihak berkuasa, suspek memakai pakaian yang dicuri daripada kawasan pembinaan.
‘’Hasil semakan sistem Jabatan, suspek tiba di negara ini pada 11 Januari 2025 melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan diberi kemudahan Pas Lawatan Sosial selama 30 hari.
‘’Proses temubual dan pengecaman oleh wakil Kedutaan Pakistan pada hari yang sama juga telah mengesahkan suspek merupakan warganegara Pakistan yang meloloskan diri daripada kawalan polis pada 9 April 2026. Suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 an ditahan di Depot Imigresen bagi tujuan tindakan lanjut,’’ kata kenyataan JIM.

Menurut JIM, tangkapan ke atas warga Pakistan terebut berjaya dilakukan pada jam 5 petang oleh sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia.
‘’Hasil risikan selama enam hari serta perkongsian maklumat perisikan daripada Kedutaan Pakistan, pasukan operasi telah melaksanakan gerakan mengesan dan menjejaki suspek di lokasi yang dipercayai menjadi tempat persembunyiannya.
‘’Setibanya di KM 24, Batu 14, Jalan Gombak Lama Jalan Gombak Selangor, pasukan operasi berjaya mengesan suspek. Hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Semasa kejadian, suspek cuba melarikan diri, namun berjaya digagalkan oleh pasukan operasi,’’ kata kenyataan tersebut.


