SEBANYAK 11 individu ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan di Wakaf Bharu, Tumpat yang didakwa berpunca daripada kejadian seorang lelaki dipukul beramai-ramai dipercayai kerana perselisihan faham keluarga, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.45 tengah malam, 1 April lalu.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham keluarga yang kemudian membawa kepada pergaduhan melibatkan kedua-dua pihak.
“Akibat kejadian itu, kesemua yang terlibat mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairi berkata, kesemua 11 individu berusia antara 18 hingga 67 tahun yang ditahan sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan selesai.
Menurutnya, kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Tambah beliau, seorang lelaki berusia 36 tahun akan didakwa di Mahkamah Tumpat pada Ahad ini di bawah Seksyen 334 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, polis mengambil tindakan sewajarnya dan menjalankan siasatan secara telus, profesional serta menyeluruh bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau belum disahkan kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan serta menggugat ketenteraman awam,” ujarnya.


